Muhammad Shafee Fail Permohonan Sri Ram Tarik Diri

KUALA LUMPUR – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menghadapi dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), memfailkan permohonan supaya bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram menarik diri daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kesnya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan ketika ditemui pemberita berkata pihak pembelaan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan pelantikan Sri Ram bagi mengetuai pasukan pendakwaan.

“Pihak pembelaan telah menyerahkan notis usul dan afidavit kepada pihak pendakwaan. Mahkamah menetapkan 22 Jan depan untuk pihak pendakwaan memfailkan afidavit jawapan berkenaan permohonan itu.

“Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 24 Jan 2019 di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah,” katanya selepas selesai prosiding di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd Saad di sini hari ini.

Sementara itu, peguam Sarah Abishegam yang mewakili Muhammad Shafee ketika dihubungi memaklumkan pihaknya telah memfailkan permohonan itu minggu lepas.

Pada 13 Sept lepas, dalam prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi, Muhammad Shafee memberitahu bahawa beliau akan membuat permohonan rasmi untuk melucutkan kelayakan Sri Ram daripada mengendalikan​​​​​​ kesnya memandangkan pada masa ini Sri Ram juga mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan dalam kes sivil membabitkan isu RM9.5 juta yang sama.

Muhammad Shafee berkata demikian semasa beliau berada dalam kandang tertuduh dan turut memberitahu bahawa beliau tidak mahu Sri Ram dalam apa juga cara terlibat dalam kes yang dihadapinya selain mendakwa Sri Ram berada dalam kapasiti tidak bebas dan mempunyai agenda.

Muhammad Shafee juga mendedahkan di dalam mahkamah terbuka yang hubungannya dengan Sri Ram tidak baik.

“Kami tidak mempunyai hubungan yang baik. Kami berpura-pura bersopan terhadap satu sama lain di mahkamah,” katanya, menambah ia bermula lewat 70-an berhubung kes-kes di mahkamah.

Pada 31 Ogos lepas, Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan pelantikan Sri Ram yang juga peguam terkemuka sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan untuk mengendalikan keseluruhan proses pendakwaan melibatkan 1Malaysia Development Berhad.

Dalam kenyataan medianya, Thomas berkata pelantikan itu seiring dengan Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah memandangkan Sri Ram mempunyai pengalaman yang luas dalam undang-undang jenayah dan beliau akan berkhidmat secara pro bono. – BERNAMA

Loading...