Mufti Perlis, Ramasamy Berdamai, LTTE Dan Zakir Naik Selesai

PUTRAJAYA – Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy hari ini bersetuju untuk tidak lagi membuat sebarang pertikaian terbuka berhubung isu Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik yang sebelum ini mencetuskan perdebatan hangat antara kedua-dua tokoh tersebut.

Persetujuan itu dicapai ketika kedua-dua mereka hadir dalam pertemuan ‘enam mata’ bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa di pejabatnya di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan kira-kira 40 minit itu, Mujahid berkata perbincangan dalam suasana mesra itu juga membawa kepada persetujuan bersama iaitu, kedua-dua tokoh bersetuju menyerahkan hal berkenaan LTTE diselesaikan oleh pihak keselamatan selain akan menyokong sebarang keputusan jemaah menteri dalam isu Zakir Naik.

“Pertemuan tadi berlangsung dalam suasana mesra, persahabatan dan tidak ada apa-apa yang boleh dianggap sebagai satu pertemuan yang terpaksa, malahan mereka berdua telah menunjukkan komitmen yang baik menjadikan perbincangan itu sebagai satu tanda aras baharu dalam menyelesaikan sebarang isu berbangkit.

“Selain mencapai kata sepakat dalam isu LTTE dan Zakir Naik, mereka juga mahu melihat satu formula lebih efektif diwujudkan selepas ini sebagai paltform mengurus dan menyelesaikan konflik yang berlaku di dalam masyakat, khususnya yang melibatkan agama,” katanya. — LAGI

Perdebatan antara kedua-dua tokoh tercetus apabila Mohd Asri mencadangkan Ramasamy berdebat secara terbuka dengan Zakir Naik bagi menentukan siapa pengganas yang sebenar selepas Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP itu menyarankan kerajaan Malaysia supaya menghantar pendakwah Islam itu dihantar pulang ke India bagi menghadapi dakwaan pengubahan wang haram dan mencetuskan ketegangan agama.

Mohd Asri juga mendesak Ramasamy menjawab dakwaan dikaitkan dengan kumpulan militan LTTE malah turut berkongsi gambar Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Perai itu yang seolah-olah memberi penghormatan kepada senapang Kalashnikov atau AK-47.

Ramasamy bagaimanapun menafikan menyokong keganasan sebaliknya berkata gambar itu diambil pada 2015 dalam satu majlis anjuran sebuah NGO bagi memperingati mangsa yang terkorban dalam konflik etnik Sri Lanka.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata pertemuan itu juga membawa kepada cadangan pewujudan satu platform yang boleh dijadikan saluran membincangkan isu-isu berbangkit di kalangan masyarakat tanpa perlu perbahasan terbuka yang boleh menimbulkan atau berpotensi mencetus ketegangan antara kaum dan agama.

Penyelesaian yang dilakar dalam pertemuan hari ini perlu dijadikan tanda aras kepada semua pihak yang ingin menimbulkan hak-hal sensitif membabitkan agama dan kaum bahawa setiap isu berbangkit boleh diselesaikan di meja rundingan, katanya. — LAGI

Dalam pada itu, Ramasamy dan Mohd Asri berterima kasih kepada Mujahid atas inisiatif yang diambil menteri yang bertanggungjawab berkaitan hal ehwal agama Islam itu untuk menyelesaikan isu berbangkit antara mereka berdua.

Ramasamy berkata walaupun dihujani panggilan mempersoalkan keperluan untuk hadir dan berbincang, beliau memutuskan untuk tetap ke Putrajaya kerana berpegang kepada prinsip mengutamakan perbincangan sama ada ia berkaitan dengan perkara yang digemarinya atau pun sebaliknya.

“Jika tentang keharmonian, saya bersedia berbincang dengan sesiapa sahaja kerana tidak mahu rakyat diperangkap dengan isu-isu sensitif yang mungkin diambil kesempatan oleh pihak tertentu,” katanya.

Mohd Asri pula berkata penyelesaian itu membolehkan kedua-dua pihak memfokuskan kepada perkara lebih besar iaitu bagaimana untuk menjadikan segenap lapisan masyarakat hidup dalam keadaan aman dan harmoni dan merangka satu platform bagi membincangkan perbezaan yang wujud antara kaum secara lebih terurus.

Atas sebab itu, kita meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau mana-mana organisasi kerajaan untuk mengadakan satu platform bagi membolehkan pihak yang berbeza pandangan mempunyai saluran bagi mengadakan perbincangan dan mencari penyelesaian kepada isu tersebut, katanya. – BERNAMA