Mufti Perlis Perjelas Isu Fitnah Tahfiz

SUSULAN tragedi menyayat hati yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada awal pagi Khamis lalu, beberapa pihak telah mengulas mengenai isu kebakaran yang menimpa pusat tahfiz tersebut.

Terdahulu, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. Maza) telah memuat naik satu perkongsian mengenai beberapa aspek yang perlu diambil kira oleh pihak ibu bapa dan pihak tahfiz.

Namun, ekoran tragedi kebakaran yang terjadi di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah baru-baru ini, perkongsian yang dimuat naik pada 9 Julai lalu telah disiarkan semula oleh beberapa portal media.

Bagaimanapun, ada pihak cuba mendakwa Dr. Maza mengeluarkan satu kenyataan khusus mengenai insiden kebakaran yang mengorbankan 23 pelajar termasuk dua guru agama itu.

Beliau menerusi perkongsian di laman Facebook tampil menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan tentang isu berkenaan.

Menurutnya, artikel yang bertajuk ‘Sekolah Tahfiz Dan Agama: Antara Kemurnian Niat Dan Pengurusan Yang Lemah’  ditulis beberapa bulan lalu telah disalahertikan oleh beberapa pihak.

“Artikel terbabit telah disiarkan kembali oleh beberapa portal media tempatan namun tajuk seperti yang disiarkan oleh portal Free Malaysian Today (FMT) adalah daripada pilihan mereka sendiri,” katanya.

Artikel tersebut membincangkan isu berbangkit secara keseluruhannya termasuk pengurusan akademik, kewangan dan keselamatan pusat tahfiz, bukannya mengenai insiden kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Ittifaqiyah.

Dalam kenyataan itu juga, Dr. Maza turut menjelaskan yang beliau hanya membincangkan faktor keselamatan dan aspek lain secara umum melalui rancangan bual bicara yang bersiaran secara langsung bersama pihak Astro Awani baru-baru ini.

“Membuka dan menguruskan pusat tahfiz memerlukan keikhlasan tetapi keikhlasan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya ia harus disertai dengan kemampuan mereka untuk mematuhi syarat yang disediakan kerajaan. 

“Boleh dikatakan ada sesetengah pusat tahfiz yang tidak memenuhi syarat keselamatan yang sepatutnya. Saya tidak cakap khusus kepada tahfiz berkenaan tetapi kepada pusat tahfiz di mana-mana sahaja,” katanya.

Tambah Dr. Maza, beliau turut memberi peringatan kepada orang ramai supaya mengutamakan keselamatan dan mengingatkan pembaca agar tidak secara melulu mempercayai sesuatu perkara tanpa usul periksa. – MYNEWSHUB.CC