Muafakat Nasional Bincang Penyertaan Bersatu Malam Ini

PUTRAJAYA – Penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional (MN) dijangka dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MN malam ini, kata Setiausaha Agung Bersama Sekretariat Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

“Mungkin (kemasukan Bersatu ke dalam MN) dibincangkan kerana ia ada dalam minit mesyuarat yang lepas,” katanya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan operasi sanitasi awam di Presint 4, di sini hari ini.

Menurutnya, mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini akan dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Annuar berkata memorandum persefahaman (MoU) perlu dirangka terlebih dahulu sekiranya Bersatu sah menyertai MN.

“Kita perlu draf MoU, piagam dan sebagainya, kalau betul Bersatu masuk MN… tentu tidak boleh ambil piagam lama dan kaedah baharu perlu dibincangkan,” katanya.

Sementara itu, Annuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu selalu bertemu dan mengadakan perbincangan berkaitan kerjasama politik dalam Perikatan Nasional (PN).

“Setakat yang saya tahu, rundingan UMNO dan Bersatu sedang berjalan dengan kedua-dua presiden selalu bertemu. Alhamdulillah semangat rundingan ada,” katanya ketika ditanya sama ada UMNO dan Bersatu telah mencapai kata putus mengenai kerjasama politik dalam PN.

Pada Selasa lepas, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN dan akan memberi syarat baharu kepada gabungan itu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Mengenai ura-ura berlaku rombakan Kabinet dalam kerajaan PN, Annuar berkata perkara itu tidak berbangkit dan ia mungkin hanya “cakap-cakap” pinggiran.

“Ia bukan perkara paling utama… paling utama sekarang adalah membentuk penyatuan dan perpaduan,” katanya. – BERNAMA

Loading...