MRM Optimis Capai Sasaran Kutipan Royalti – Norman KRU

KUALA LUMPUR – Music Rights Malaysia (MRM) optimis dapat mencapai sasaran jumlah kutipan pendapatan dan royalti sebanyak RM100 juta tahun ini.

Seorang daripada anggota Lembaga Pengarah MRM, Datuk Norman Abdul Halim berkata setakat Jumaat (21 Dis) jumlah invois yang telah dikeluarkan adalah sebanyak RM92.3 juta dan jumlah royalti yang berjaya dikutip ialah RM66.8 juta.

“Jumlah ini tidak termasuk satu kontrak bernilai RM21 juta yang sepatutnya ditandatangani pada tahun ini. Kontrak itu tertangguh kerana perlu dipersetujui oleh ketiga-tiga badan pelesenan MRM dan sekiranya dapat diselesaikan, jumlah kutipan sudah melebihi RM87 juta,” katanya kepada Bernama di sini.

Norman yang lebih dikenali sebagai Norman KRU berkata kejayaan itu sekaligus menepis dakwaan sesetengah pihak yang mempertikaikan urus tadbir MRM.

Kebelakangan ini terdapat penggiat industri muzik yang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka melalui pelbagai medium termasuk media massa dan media sosial yang antaranya mendakwa MRM tidak berwibawa dan mengalami masalah pengurusan yang lemah sehingga menyebabkan agihan royalti kepada badan pelesenannya jatuh.

Norman juga berharap pertikaian kontrak tertangguh itu antara ketiga-tiga badan pelesenan MRM iaitu Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dapat diselesaikan pada tahun ini.

“Saya sendiri sudah cuba jadi orang tengah kepada semua pihak untuk selesaikan pertikaian ini. Kalau kita sama-sama berkompromi dan ada persefahaman antara kita, kita boleh maju ke hadapan, dan hak-hak semua pihak berkepentingan boleh dilindungi sebaik mungkin,” katanya.

Menjawab dakwaan mengenai kejatuhan jumlah kutipan, Norman mengakui pada peringkat awal pengwujudan MRM jumlah kutipan royalti bagi semua badan pelesenannya jatuh kira-kira 40-60 peratus.

Katanya, hal ini kerana walaupun MRM dilancarkan pada Disember 2016, namun lesen yang diberikan kepada badan pemungut royalti itu oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) hanya berkuat kuasa 1 Ogos 2017.

“Ini bermakna kira-kira tujuh bulan selepas pengumuman itu barulah kita dapat lesen. Ya, memang kita dapat lesen sementara tetapi pengguna tidak hirau kalau dapat lesen sementara kerana bagi mereka selagi MRM tidak dapat lesen tetap kenapa mereka perlu bayar?.

“Apa yang berlaku selepas dapat lesen (Ogos 2017) aktiviti perlesenan hanya boleh dimulakan dua bulan selepas itu (Oktober 2017). Sebab itulah kutipan pada ketika itu jatuh merudum. Jadi jangan salah tafsirkan situasi ini sebagai kelemahan ahli lembaga atau pengurusan MRM,” katanya sambil memberitahu perkara itu telah dijelaskannya kepada semua anggota badan pelesenan MRM pada Mesyuarat Agung Tahunan baru-baru ini.

Malahan, beliau berkata, dengan adanya tokoh-tokoh tertentu khususnya Pengerusi MRM Tun Zaki Azmi, MRM berjaya mendapatkan lesen memungut royalti seawal mungkin.

“Kalau tidak kerana desakan yang kita buat kepada kerajaan sebelum ini untuk mendapatkan lesen pada 1 ogos (2017) sampai sekarang pun tidak tentu lagi dapat kutip royalti,” katanya.

Dalam pada itu Norman mengakui terdapat segelintir anggota dari badan pelesenan utama di bawah MRM yang tidak memahami situasi sebenar sehingga mereka meluahkan ketidakpuasan hati secara peribadi di pelbagai medium termasuk media massa dan media sosial.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap badan pelesenan memberitahu situasi sebenar dengan jelas kepada anggota mereka.

Selain itu, beliau mengakui pihak pengurusan MRM sendiri perlu mengambil iktibar daripada kejadian salah faham dan tanggapan buruk yang berlaku untuk memperkuatkan lagi komunikasi dengan anggota-anggota badan pelesenan MRM.

“Jadi saya sendiri pun sebagai pemilik hak cipta berasa marah sekiranya saya tidak tahu masalah ini. Masalah ini sebenarnya satu isu komunikasi yang harus ditangani pihak pengurusan MRM sendiri dan pengurusan MRM perlu ambil iktibar daripada salah anggap dan tanggapan buruk ini untuk memperkuatkan lagi komunikasi dengan anggota,” katanya. – BERNAMA

Loading...