MPK Tawar Diskaun Kompaun Kesalahan Parkir

KLUANG – Majlis Perbandaran Kluang (MPK) menawarkan diskaun bagi bayaran kompaun untuk kesalahan parkir kenderaan mulai tahun 2003 sehingga kini.

Yang Dipertua MPK Mohd Rafi Abdullah berkata, tempoh tawaran diskaun berkenaan bermula 1 Disember sehingga 31 Disember dengan jumlah diskaun yang akan diberikan kepada orang ramai adalah sebanyak 80 peratus.

Beliau berkata pembayaran kompaun terbabit boleh dilakukan di kaunter pejabat MPK dan di semua pejabat cawangan pada waktu pejabat dengan bertujuan untuk menggalakkan mereka yang telah dikompaun menjelaskannya.

“Selain bayaran secara terus di kaunter, pembayaran juga boleh dibuat secara atas talian melalui JomPAY dan wang pos.

“Kempen pengurangan bayaran kompaun ini merupakan siri keempat pada tahun ini dan kami di MPK berharap orang ramai mengambil kesempatan segera menyelesaikan kompaun yang telah dikenakan untuk mengelakkan tindakan undang-undang diambil pihak MPK,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Mohd Rafi, pihak MPK telah memberi banyak peluang kepada mereka yang dikompaun dan pelbagai usaha juga telah dijalankan termasuk melatih pengguna menggunakan kupon letak kenderaan,” katanya. – BERNAMA

Loading...