Moody’s Turunkan Penarafan Petronas

KUALA LUMPUR – Moody’s Investors Service menurunkan penarafan penerbit domestik dan mata wang asing senior tidak bercagar Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) kepada A2 daripada A1 serta mengubah unjuran kepada ‘stabil’ daripada ‘negatif’.

Dalam kenyataan hari ini, agensi penarafan global itu berkata, metrik kredit syarikat minyak negara kekal kukuh, namun diberikan penarafan yang lebih disebabkan semakan semula metodologi silang sektor.

Moody’s menyiarkan metodologi rentas sektor yang dikemas kini bertajuk ‘Menilai Impak Kualiti Kredit Kerajaan pada Penilaian Lain’, pada 20 Jun.

Naib Presiden Kanan Moody’s, Vikas Halan berkata hubungan rapat antara kerajaan Malaysia (stabil A3) dan Petronas, berdasarkan metodologi yang disemak semula itu, tidak boleh menyokong penarafan bagi Petronas, iaitu dua kedudukan lebih tinggi berbanding negara Malaysia.

“Hubungan syarikat dengan negara (Malaysia) mewujudkan potensi campur tangan kerajaan yang mungkin mempunyai kesan negatif terhadap profil perniagaan atau aliran tunai syarikat,” katanya.

Halan bagaimanapun berkata penarafannya boleh dikekalkan satu kedudukan melepasi penarafan negara disebabkan metrik kredit syarikat itu yang kukuh, pergantungan rendah terhadap ekonomi domestik (70 peratus hasil yang dijana melalui eksport dan seberang laut) dan akses yang lebih baik ke pasaran modal antarabangsa.

Loading...