Momota Patah Tulang Hidung, Kecederaan Lain Di Muka

KUALA LUMPUR – Pemain badminton nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota, disahkan patah tulang hidung dan mengalami kecederaan lain di bahagian muka akibat kemalangan di Kilometer 13.7 Lebuh Raya Maju Expressway (MEX), awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Ismadi Borhan, berkata Momota bersama tiga lagi mangsa yang cedera dalam kejadian itu sedang dirawat di Hospital Putrajaya dan berada dalam keadaan stabil.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memaklumkan tiga lagi mangsa terbabit ialah Pegawai Teknikal Persekutuan Badminton Dunia (BWF), William Thomas, 30, dari England; pembantu jurulatih Jepun, Hirayama Yu, 35; dan Pegawai Fisioterapi Jepun, Morimoto Akifumi, 42.

Menjelaskan lanjut, Ismadi berkata, Momota luka di bahagian bibir dan menerima jahitan, manakala Akifumi mengalami patah tangan.

“Yu pula hanya luka di bahagian muka dan kaki kanan, sementara Thomas luka di bahagian kepala, kaki kanan serta peha,” katanya.

Ismadi berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari ibu kota.

“Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BH Online

Loading...