Momo Sudah ‘Mati’ Reput

TOKYO – Pencipta Momo, Keisuke Aiso memberi jaminan kepada kanak-kanak arca ngeri itu sudah ‘mati’ tahun lalu kerana reput dan mereka tidak perlu takut apabila melihatnya di media sosial.

Keisuke, 43, berkata dia membuang arca itu kerana berasa bersalah selepas hasil seninya disalahguna pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan Cabaran Momo sehingga mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak.

“Ia sudah tidak wujud lagi kerana reput dan dibuang. Kanak-kanak perlu tahu Momo sudah mati dan sumpahan juga hilang,” katanya.

The Sun melaporkan arca diberi nama ‘Mother Bird’ itu diilhamkan daripada kisah dongeng Jepun, Ubume dan dipamerkan di sebuah galeri berkonsepkan seram di Tokyo tiga tahun lalu.

Artis itu mengakui pada asalnya menghasilkan arca terbabit untuk menakutkan orang, namun tidak menyangka ciptaannya akan menimbulkan isu sehingga mencetuskan panik di seluruh dunia.

Menurut Keisuke, cabaran Momo yang mula tular di Amerika Selatan tahun lalu menimbulkan masalah kepadanya.

Kini arca itu tinggal biji mata kiri sahaja dan Keisuke merancang menggunakannya untuk projek lain. – Agensi

Loading...