Momentum Kerjasama PAS-UMNO Di Bumi Pahang

PERTAMA kali dalam sejarah penganjuran Muktamar Tahunan PAS, Pahang dipilih menjadi tuan rumah persidangan itu yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat ini di Dewan Sukpa, Kuantan.

Terdahulu, sayap parti berkenaan, Dewan Muslimat PAS selesai mengadakan Muktamar Tahunan Ke-59 di Bukit Gambang Resort City (BGRC), Kuantan pada Sabtu lepas manakala Muktamar Dewan Pemuda PAS berlangsung dua hari bermula Rabu ini di lokasi sama.

Muktamar Dewan Ulama PAS pula bersidang pada 20 Jun di Wisma Belia Indera Mahkota di Kuantan.

Pemilihan Pahang yang ditadbir Barisan Nasional (BN) sebagai tuan rumah persidangan yang dahulunya sebagai Mesyuarat Agung Tahunan PAS dilihat sesuai pada masanya pada saat parti berteraskan Islam itu sedang menuju ke arah pengukuhan pembentukan kerjasama dengan UMNO.

Jalinan kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan dilihat bertambah baik dan lebih tersusun pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands hujung Januari lalu yang menjadi antara faktor membantu kemenangan calon Barisan BN, Ramli Mohd. Noor.

Di peringkat negeri, momentum kerjasama antara UMNO dan PAS itu berterusan apabila kepemimpinan kedua-dua parti berkenaan duduk bersama menghubungkan silaturahim.

Muafakat itu dapat dilihat umpamanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Kampung Beserah Pantai di Kuantan pada Mac lalu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Kedua-dua buah parti itu kemudian bersama-sama menganjurkan Himpunan Perpaduan Ummah Pahang pada hujung April lepas yang mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran umat Islam dari seluruh negeri ini.

Himpunan di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dan Padang MPK 1 Kuantan yang menjadi simbol kebangkitan dan perpaduan umat Islam khususnya antara UMNO dan PAS itu menyaksikan kehadiran lebih 10,000 orang.

Hubungan mesra antara pemimpin kedua-dua parti itu semakin terserlah apabila pada hujung bulan lepas, Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang menerusi laman Facebooknya memuat naik gambar beliau menerima kunjungan hormat daripada kepemimpinan PAS Pahang iaitu Pesuruhjayanya, Rosli Abdul Jabar, Andansura serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd. Tarmizi Yahaya.

“Terima kasih atas kunjung hormat ini dan semoga ukhuwah dan silaturrahim yang kita jalin ini memberi kemaslahatan kepada ummah dan kemakmuran negara, Insya-Allah,” tulis Wan Rosdy di laman sosial berkenaan.

Menggunakan medium sama, Wan Rosdy turut mengucapkan tahniah kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menang tanpa bertanding pada pemilihan parti itu sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-65.

Komitmen Wan Rosdy terhadap semangat kerjasama berkenaan turut dizahirkan apabila beliau dilaporkan antara pemimpin UMNO yang menyatakan persetujuan untuk menghadiri Muktamar Tahunan PAS kali ini.

Sementara itu, Andansura yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Indera Mahkota berkata, kerjasama antara UMNO dan PAS Pahang yang dizahirkan secara lebih tersusun pada PRK Parlimen Cameron Highlands boleh dijadikan model muafakat antara kedua-dua buah parti berkenaan.

Sejak PRK berkenaan, katanya, banyak program dianjurkan bersama dengan UMNO memberi sokongan kepada PAS dan parti itu turut menghadiri program-program dianjurkan UMNO.

“Selepas PRK Cameron Highlands, terdapat beberapa siri kerjasama dalam PRK dengan UMNO menunjukkan ada kesan yang baik terhadap keputusan dan terdapat lonjakan sokongan orang ramai kepada kerjasama ini. Maka saya melihat Multamar Tahunan PAS kali ini akan menentukan gerakan halu tuju menuju ke Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...