“Mohon Terus Doakan Nur Izzah…”

KUANTAN – Keluarga Nur Izzah Mohd Shokri, penuntut Malaysia yang kini dalam keadaan koma selepas terbabit dalam kemalangan di Manchester, England memohon rakyat negara ini terus mendoakan beliau sedar daripada koma dan kembali pulih.

Kakaknya, Nur Farihah, 23, berkata mereka sekeluarga tersentuh dengan doa dan kata-kata semangat rakyat Malaysia yang dibaca di media sosial, walaupun masyarakat hanya mengenali adiknya selepas berita mengenai kemalangan itu disiarkan akhbar dan media sosial.

Mereka sekeluarga turut menjunjung kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang menzahirkan rasa sedih dan mendoakan kesembuhan buat Nur Izzah.

“Kami berharap doa-doa ini yang dimakbulkan. Setiap hari, kami mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat di rumah serta di masjid berhampiran dengan bantuan jiran memandangkan ibu bapa kami sudah berlepas ke England pada 29 Disember lalu untuk bersama Nur Izzah.

“Alhamdulillah, ramai yang membantu bukan hanya di Malaysia, malah juga mempermudahkan perjalanan ibu bapa kami dan urusan seharian mereka di England walaupun adik baru melanjutkan pelajaran di sana,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Nur Farihah yang menetap di Karak, Bentong kira-kira 152 kilometer dari sini, juga berterima kasih dengan kesungguhan doktor dan jururawat di Salford Royal Hospital, England kerana sudi membantu mereka membacakan Yasin kepada adiknya menerusi aplikasi Facetime dengan meletakkan telefon pintar di sebelah Nur Izzah.

Disebabkan perbezaan masa, Nur Farihah yang juga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor akan berjaga sehingga lewat malam bersama tiga lagi adik lelakinya bagi tujuan itu, walaupun doktor dan jururawat di sana sering berpesan mereka boleh dihubungi pada bila-bila masa.

“Kami tidak mahu terlalu mengganggu mereka kerana faham dengan kesibukan tugas sebagai doktor dalam situasi pandemik COVID-19.

“Kesudian mereka membantu membenarkan kami melihat Nur Izzah walaupun hanya di skrin telefon sudah cukup bermakna.

“Selepas bacaan Yasin, saya akan berbual dengan Nur Izzah yang menjadi kebiasaan kami setiap hari sejak adik berlepas ke sana pada 29 September lalu.

“Doktor juga menggalakkan saya berbuat demikian bagi memberi semangat kepadanya,” katanya.

Nur Izzah, 20, pelajar tahun pertama jurusan perakaunan dan kewangan di Universiti Manchester, dilaporkan mengalami kecederaan serius di kepala dan tulang rusuk selepas bertembung dengan sebuah bas ketika menunggang basikal di Wilmslow Road, Rusholme dalam kejadian 4.25 petang waktu tempatan, 28 Disember lalu.

Pelajar tajaan PETRONAS itu koma selepas menjalani pembedahan dan kini ibu bapanya Mohd Shokri Zainal, 56, dan Hamidah Wahab, 46, sudah berada di England untuk bersamanya. – BERNAMA