Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Rasuah: KBS Berada Di...

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berada di tangga kelapan daripada...

Bomba Bidas Kenyataan Biadab...

PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membidas kenyataan biadab seorang wanita...

CEO Kumpulan Astro Umum...

KUALA LUMPUR – Astro Malaysia Holdings Bhd. Group hari ini mengumumkan peletakan jawatan...

Undi PH Bererti Undi...

SESIAPA yang mengundi Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang...

Mohd. Khalid: Saksi Kekejaman Tentera Jepun

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

BAGI generasi muda, bekas Juruiring Tentera kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman ini mungkin agak kurang dikenali. Tetapi di kalangan generasi lama, namanya agak harum terutama kepada mereka yang pernah berkhidmat dalam Tentera Darat.

Biarpun begitu, tidak banyak kisah perjuangannya yang diketahui umum kecuali mengenai penglibatannya dalam sambutan kemerdekaan negara.

Sedangkan hakikatnya, tokoh ini merupakan seorang yang banyak berjasa kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apatah lagi pernah berjuang dalam tiga zaman berbeza.

Bermula dengan penjajahan British, lelaki yang telah berusia 83 tahun ini turut terbabit menentang pendudukan Jepun dalam Perang Dunia Kedua, membina semula Rejimen Askar Melayu selepas perang berakhir di samping menentang pemberontakan komunis.

Biarpun begitu, di antara banyak pengalaman yang pernah ditempuhi oleh Mejar (B) Mohd. Khalid Abdul Halim, kisah sewaktu dalam tahanan Jepun adalah antara yang paling sukar padam dari diari hidupnya.

Mohd. Khalid yang menyertai Rejimen Askar Melayu sebagai rekrut pada 18 Mac 1940 masih ingat, sebaik sahaja British menyerah kalah pada 15 Februari 1942, perajurit Askar Melayu yang terselamat dalam pertempuran telah dihimpunkan di Keppel Harbour Golf Course sebagai tahanan perang.

Dua hari kemudian, seramai lapan pegawai dan kira-kira 600 Askar Melayu telah diasingkan dari kumpulan Tentera British.

Para pegawai yang berbangsa Inggeris kemudiannya dibawa ke Berek Gillman dan Kem Tentera Changi manakala tahanan Melayu termasuk Mohd. Khalid dipindahkan ke Ferrer Park bersama Tentera India.

Sepanjang ditahan di situ pelbagai peristiwa tragis yang sempat disaksikan oleh beliau. Hari-hari dalam tawanan juga memeritkan.

Adakalanya fajar yang menyingsing pada setiap pagi mencemaskan mereka apatah lagi nyawa sentiasa ibarat telur di hujung tanduk.

“Apa tidaknya. Setiap hari ada sahaja tahanan yang dibawa keluar oleh Tentera Jepun. Ada yang hilang, ada yang kembali. Yang tidak kembali, kami percaya telah mati dibunuh.

“Kami percaya lambat laun akan tiba juga giliran kami untuk dibunuh. Jadi buat apa tunggu lama-lama di situ,’’ katanya.

Menurut Mohd. Khalid, peluang untuk melepaskan diri agak terbuka luas kerana kawalan Tentera Jepun tidak terlalu ketat. Cuma yang dibimbangkan ialah padah yang menanti jika tertangkap iaitu hukuman mati.

Demi Maruah

Lebih-lebih lagi sikap Tentera Jepun terhadap perajurit Askar Melayu sukar diduga. Adakalanya mereka agak berlembut, tetapi sering juga bersikap kejam terhadap Askar Melayu.

“Misalnya, Tentera Jepun pernah menawarkan kepada 98 anggota Askar Melayu untuk dihantar pulang ke kampung mereka dengan syarat mereka menanggalkan pakaian seragam.

“Disebabkan enggan berbuat demikian demi maruah Rejimen Askar Melayu, mereka akhirnya dibunuh dengan kejam berhampiran Gap Ridge,’’ katanya.

Pada 4 Mac 1942 tahanan perang yang ada dipindahkan ke Geylang Chinese High School selama dua malam.

Tentera Jepun pernah menawarkan kepada 98 anggota Askar Melayu untuk dihantar pulang ke kampung mereka dengan syarat mereka menanggalkan pakaian seragam. Disebabkan enggan berbuat demikian demi maruah Rejimen Askar Melayu, mereka akhirnya dibunuh dengan kejam berhampiran Gap Ridge.

Suatu hari, Mohd. Khalid melihat Tentera Jepun menghampiri Leftenan Ibrahim Sidek yang popular dengan panggilan Ibrahim Kepak Ayam untuk dibawa keluar dari kem.

Sebelum dibawa ke kenderaan, Mohd. Khalid sempat berjabat tangan dengan rakannya itu sambil berkata: “Semoga berjumpa lagi dan selamat.’’

Rupa-rupanya itulah pertemuan terakhir mereka kerana selepas itu Ibrahim dan enam pegawai Melayu yang lain telah dibunuh dengan kejam oleh Jepun berhampiran Pasir Panjang.

“Apa yang saya tahu, mereka dibunuh dengan tembakan mesingan hanya kerana enggan menanggalkan pakaian seragam Askar Melayu yang dipakai.

“Begitulah taat setianya mereka kepada pasukan walaupun nyawa menjadi gantinya,’’ kata beliau.

Selepas lebih 30 hari menjadi tahanan perang, Mohd. Khalid sudah tidak tahan lagi melihat kekejaman Tentera Jepun dan nekad untuk melarikan diri. Untuk itu beliau mengatur rancangan bersama Hassan Din atau digelar Hassan Batak.

Hassan berkebolehan bermain alat-alat muzik seperti piano dengan baik. Kelebihan itu digunakan oleh Hassan untuk menarik perhatian Tentera Jepun yang berkawal pada suatu malam.


“Ketika pengawal sedang asyik mendengar alunan piano Hassan, seorang demi seorang melarikan diri dengan menyusup di bawah kawat berduri dan seterusnya bersembunyi di hutan berhampiran.

“Antara yang berbuat demikian ialah saya dan Mohd. Zain. Kami memang nekad waktu itu walaupun risikonya amat tinggi,’’ katanya.

Kemudian mereka berdua berlari menuju ke Jalan Minto untuk bertemu Ibrahim, bapa angkat Mohd. Zain untuk berlindung. Melalui Ibrahim, mereka mendapat maklumat mengenai pergerakan Tentera Jepun seterusnya meminta bantuan beliau untuk mendapatkan tiket kereta api untuk pulang ke kampung masing-masing di Perak.

Bagaimanapun, perang yang meletus telah memusnahkan laluan kereta api sehingga menyebabkan mereka terkandas di rumah Ibrahim.

Sehinggalah pada suatu hari, kira-kira seminggu kemudian, Ibrahim membawa akhbar The Syonan Sinbun, (berbahasa Inggeris) yang menyiarkan pengumuman mengenai pergerakan kereta api ke utara keesokan harinya.

Pada masa itu, tambang ke Tanjung Malim yang merupakan kampung halaman Mohd. Zain ialah RM6 manakala ke Kuala Kangsar RM10.

“Nasib baik masa itu saya ada menyimpan RM20 manakala Mohd. Zain RM 8. Ia cukup untuk kami beli tiket,’’ terang beliau.

Petang itu, mereka membeli tiket di Stesen Kereta Api Tanjung Pagar. Turut dibeli ialah lima buku roti untuk mengalas perut ketika perjalanan nanti.

Tepat pukul 8 malam, ketika kereta api hampir hendak bergerak, mereka memasuki sebuah gerabak, tanpa mengetahui ia dikhaskan untuk tali barut Jepun yang berbangsa Thai serta tentera upahan mereka. Penumpang biasa sepatutnya hanya boleh menaiki gerabak barang sahaja.

“Pakaian seragam Askar Melayu yang kami pakai lebih kurang sama dengan warna pakaian mereka. Jadi mereka ingat kami sebahagian daripada mereka.

“Nasib baik pangkat dan lambang lain pada pakaian telah kami tanggalkan. Jika tidak, tentu Tentera Jepun akan menangkap kami,’’ katanya.

Selepas beberapa ketika berada dalam gerabak, mereka mula resah apabila kereta api tidak juga bergerak walaupun jam telah melewati pukul 8 malam.

Bagaimanapun, tepat pukul 10 malam mereka lega apabila kereta api mula meninggalkan Tanjung Pagar. Sebaik tiba di Johor Bahru, Tentera Jepun melakukan pemeriksaan ke atas semua penumpang. Nasib baik gerabak yang mereka naiki tidak diperiksa. Perjalanan kereta api ke utara agak lambat kerana Tentera Jepun melakukan pemeriksaan ke atas penumpang di semua stesen yang dilalui.

Malah sehingga esoknya, mereka baru tiba di Kluang, Johor. Waktu itu, bekalan roti yang dibawa hampir habis dan ini mula membimbangkan mereka.

Terjun Keretapi

Selepas empat hari bergerak, kereta api yang dinaiki tiba di Seremban pada pukul 5 pagi. Disebabkan terlalu lapar, mereka turun untuk membeli nasi bungkus berharga 20 sen dan minum air paip di stesen berkenaan.

Pada pukul enam petang mereka tiba di Kuala Lumpur. Masuk hari ketujuh barulah kereta api itu menyambung perjalanan ke utara. Sebaik kereta api bergerak, mereka mula merancang tindakan yang akan dilakukan apabila kereta api tiba ke kampung masing-masing.

“Yang paling penting sekali ialah untuk memastikan kami tidak ditangkap Tentera Jepun. Jadi keputusan kami ialah terjun dari keretapi beberapa kilometer sebelum ia sampai ke stesen Tanjung Malim atau Kuala Kangsar,’’ katanya yang bersara dari tentera pada tahun 1965.

Apabila menghampiri Stesen Tanjung Malim pada pukul 8 malam, Mohd. Zain tanpa sempat bersalam dengan Mohd. Khalid terus terjun dari kereta api dan berlari ke dalam semak berhampiran.

“Saya tidak tahu nasibnya selepas itu kerana saya lihat Tentera Jepun banyak berkeliaran berhampiran kawasan tersebut. Hati saya berdoa agar dia selamat,’’ katanya.

Kira-kira pukul 10 malam kereta api menghampiri pula Kuala Kangsar. Tanpa berlengah Mohd. Khalid terus terjun dan berlari sekuat hatinya menuju ke kampungnya dalam kegelapan malam. Tiba di rumah, beliau di sambut dengan linangan air mata oleh ibu dan ahli keluarganya.

Sepanjang berada di kampung, Mohd. Khalid melakukan bermacam kerja untuk meneruskan kehidupan termasuk menjadi pemandu lori untuk membawa beras milik Jepun. Di kampung juga, Mohd. Khalid mendapat tahu sebahagian besar rakan-rakannya yang menjadi tahanan perang telah dihantar menjadi buruh paksa di Thailand, Myanmar dan Indonesia. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Kategori