Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Najib Balas Tweet Pelajar...

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melahirkan rasa syukur...

Militan IS Gesa Pengikut...

Baghdad - Kumpulan Negara Islam (IS) semalam menggesa pengikutnya menyerang rakyat Amerika Syarikat...

UNSC: Negara Anggota PBB...

KUALA LUMPUR - Sokongan yang diberikan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk...

Sultan Pahang Bertemu Raja...

KUALA LUMPUR - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah hari ini berkenan mengadakan pertemuan...

Mohd. Khalid: Antara Terawal Tahu Tarikh Kemerdekaan

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

TARIKH keramat 31 Ogos 1957 dan Stadium Merdeka begitu dekat di hatinya. Oleh itu, tidak hairanlah jika lelaki ini menjadi orang yang paling gembira sekali sebaik sahaja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengisytiharkan Stadium Merdeka sebagai warisan Negara dan tidak perlu dirobohkan pada 10 Februari 2003.

Bagi Mejar (B) Mohd. Khalid Abdul Halim, 83, jika bangunan warisan itu runtuh, bermakna musnahlah satu binaan sejarah yang begitu agung kepada bangsa Malaysia yang bebas merdeka.

“Amat sayang kalau ia diruntuhkan. Ia begitu bermakna dan penuh nostalgia kepada saya dan semua rakyat yang pernah menyaksikan pengisytiharan kemerdekaan Negara,” katanya yang kini menghabiskan sisa-sisa usianya di Kamunting, Taiping, Perak.

Bekas pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja ini sememang berhak untuk merasa gembira apatah lagi beliau pernah terlibat secara langsung dalam menggerakkan persiapan majlis sambutan kemerdekaan negara, 46 tahun lalu.

Bahkan, setiap kali tibanya detik 31 Ogos, hatinya pasti akan terusik apabila mengenangkan semula betapa meriahnya suasana sambutan ketika itu.

Lebih manis, dalam diari hidupnya turut terpahat kukuh bahawa beliau adalah antara anak watan terawal yang mengetahui tarikh kemerdekaan negara sebelum pengumuman mengenainya dibuat oleh Tunku Abdul Rahman pada 20 Februari 1956 di Padang Bandar Hilir Melaka, sekembalinya dari rundingan kemerdekaan di London.

“Masa itu saya bertugas di Malayan Command (Kementerian Pertahanan) sebagai Pegawai Undang-Undang berpangkat Kapten.

“Saya dan beberapa pegawai yang lain dapat tahu mengenai perkara itu melalui sepucuk kawat dari London beberapa hari sebelum Tunku pulang ke tanah air.

“Tetapi kami menyimpan rahsia tersebut dengan cermat sehinggalah pengumuman rasmi dibuat,” katanya.

Menurutnya, tidak ramai yang tahu kenapa tarikh tersebut dipilih serta rasionalnya. Bagaimanapun, sebagai seorang yang rapat dengan Tunku, Mohd. Khalid tahu bahawa tarikh berkenaan diputuskan selepas mendengar pandangan dua tokoh agama terkenal iaitu Datuk Abdullah Farhim Badawi dan Sheikh Tahir.

Selepas tarikh ditentukan, Tunku terus mengarahkan Kementerian Pertahanan membuat persiapan bagi upacara sambutan tersebut seperti membuat latihan perbarisan, membentuk segera pasukan pancaragam pusat serta membuat latihan memainkan lagu kebangsaan Negaraku.

Untuk tujuan itu, anggota tentera terlibat menjalani raptai selama seminggu di depan Bangunan Sultan Abdul Samad dengan perbarisan diketuai oleh Mejar Abdul Hamid Bidin.

Gelisah

“Adakalanya latihan berakhir sehingga pukul empat pagi. Tetapi semua itu tidak dipedulikan oleh pegawai dan anggota tentera terlibat kerana mahu memastikan upacara tersebut berlangsung tanpa ada sebarang cacat cela,“ ujar beliau. Sewaktu raptai,beberapa masalah serta kekeliruan turut timbul.

“Misalnya, apabila lagu Terang Bulan buat pertama kali dimainkan oleh pasukan pancaragam, ramai yang hairan kenapa dimainkan lagu negeri Perak itu.

“Esoknya, saya jumpa Tunku dan bertanya akan hal itu. Beliau cakap lagu itu telah dijadikan lagu kebangsaan,” katanya yang ketika itu diberi peranan sebagai juruiring tentera untuk menyerahkan Suratcara Kemerdekaan kepada Tunku yang juga Perdana Menteri.

Saya dan beberapa pegawai yang lain dapat tahu mengenai perkara itu melalui sepucuk kawat dari London beberapa hari sebelum Tunku pulang ke tanah air. Tetapi kami menyimpan rahsia tersebut dengan cermat sehinggalah pengumuman rasmi dibuat.

Menjelang tarikh sambutan, entah macam mana hati Mohd. Khalid semakin resah lebih-lebih lagi mengenangkan tanggungjawab yang diberikan kepadanya agak berat dan sebarang kesilapan sudah tentu akan mencacatkan majlis.


Sebagai langkah berjaga-jaga, sehari sebelum sambutan, Mohd. Khalid telah pergi ke pejabat Tunku untuk memberikan taklimat akhir tentang aturcara sambutan yang bermula pada pukul 8 pagi.

Apabila fajar menyingsing pada keesokannya, tanpa diduga hujan turun dengan lebat. Keadaan itu menambahkan resah Mohd. Khalid.

“Hujan lebat menyebabkan upacara tersebut dimulakan lewat sikit. Walaupun begitu, saya lihat rakyat yang hadir langsung tidak berganjak dari tempat duduk mereka.

“Malah stadium terus dibanjiri oleh rakyat semua kaum yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan majlis itu,“ katanya.

Semangat rakyat itu membuatkan Tunku begitu ceria sekali untuk menyempurnakan perisytiharan kemerdekaan dengan disaksikan oleh Raja-raja Melayu dan Duke of Gloucester yang mewakili Ratu Elizabeth II.

Selepas juruacara majlis mempersilakan Tunku membuat perisytiharan tersebut, Mohd. Khalid dengan tenang berjalan menghampiri Tunku dengan disaksikan puluhan ribu rakyat jelata dan pembesar.

“Pada ketika itu saya rasa berdebar debar kerana pada dulang yang saya tatang terdapat dua Suratcara Kemerdekaan iaitu dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

“Saya takut Tunku akan terambil yand dalam Bahasa Inggeris dahulu sedangkan ia patut diumumkan dalam bahasa Melayu dahulu,” terang beliau.

Bagaimanapun, Mohd. Khalid akhirnya lega apabila Tunku mengambil suratcara tersebut mengikut seperti apa yang dirancang.

Ketika beliau sedang menggulung suratcara dalam bahasa Inggeris, Tunku terus melaungkan Merdeka!, Merdeka!, Merdeka!, Merdeka!.

Tiba laungan kali kelima, tiba-tiba Tunku diam. Mohd. Khalid perasan tentang perkara itu, lalu bertindak cepat dengan mengetuk meja sebanyak dua kali sambil menunjukkan lima jarinya kepada Tunku.

“Nasib baik Tunku sedar isyarat tersebut dan beliau terus melaungkan merdeka sebanyak dua kali lagi untuk mencukupkan tujuh kali,“ terangnya sambil memberitahu rakyat tidak sedar akan hal itu kerana sedang ghairah melaungkan kemerdekaan negara ketika itu.

Kini peristiwa bersejarah itu sudah lama berlalu meninggalkan memori manis kepada bekas anggota pasukan elit Ferret Force ini, namun baginya ia seperti baru semalam berlaku. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Kategori