Mohamed Apandi Lapor Polis Kenyataan Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan membuat laporan polis hari ini, terhadap Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan memfitnah menerusi buku berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Laporan itu akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, kira-kira jam 2.30 petang ini.

“Saya sahkan betul (buat laporan di IPD Sentul pada jam 2.30 petang nanti),” katanya, hari ini.

Semalam, Polis Selangor membuka kertas siasatan terhadap Tommy yang juga bekas Peguam Negara berhubung dakwaan memfitnah.

Kertas siasatan kes berkenaan dibuka selepas polis menerima laporan daripada bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, kelmarin.

Mohamad Hanafiah dalam laporan polisnya mendakwa dalam buku itu, Tommy memfitnah dan memburukkan imejnya ketika beliau masih bertugas sebagai seorang pegawai kanan kerajaan. – BH Online