Moga Pelancongan Di Kelantan Terus Maju

INSIDEN jambatan gantung Lata Keding, Bukit Kudung di Jeli, kelantan runtuh menyebabkan beberapa pengunjung tercedera amat memeranjatkan.

Setakat ini terdapat dua versi berhubung insiden itu seperti yang dilaporkan pihak media.

Pertama jambatan gantung itu masih dalam pembinaan dan pihak pengurusan telah meletakkan notis amaran melarang pengunjung menaikinya.

Namun masih ada pengunjung menggunakannya dan ketika kejadian terdapat lebih 10 pengunjung di atas jambatan gantung itu menyebabkan ia putus kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

Kedua ia disebabkan oleh perbuatan ‘budak nakal’ mengalihkan tanda amaran pada jambatan gantung yang masih diselenggara.

Perbuatan mereka menyebabkan pe­ngunjung tidak tahu jambatan gantung itu tidak selamat untuk digunakan lalu menaikinya.

Walau apa versi sebenar, kita mendoakan kesemua pengunjung yang cedera segera sembuh dan tiada lebih buruk dialami susulan bencana itu.

Kita juga berharap insiden berkenaan sama sekali tidak akan mencalar usaha kerajaan dalam membangunkan industri pelancongan di Kelantan.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada tahun 2019 pernah mendedahkan tentang Kelantan yang kekurangan produk pelancongan.

Anak jati Darul Naim itu mendedahkan ramai pelancong naik kapal terbang ke Kelantan, tetapi negeri itu hanya lokasi transit untuk ke pulau di Terengganu.

Walhal, kata Ahli Parlimen Jeli tersebut, Kelantan memiliki banyak tempat berpotensi untuk dikomersialkan termasuk Lata Keding, Bukit Kudung.

Justeru, beliau menyeru syarikat korporat dan usahawan meneroka pasaran pelancongan dengan membuka kawasan rekreasi atau penginapan berkonsepkan ekopelancongan di Kelantan.

Alhamdulillah saban tahun apa yang dihasratkan dan dicadangkan beliau itu tampak membuahkan hasil. Pembangunan Bukit Kudung antara buktinya.

Namun insiden jambatan gantung Lata Keding runtuh 19 Mac 2021 langsung tidak menyokong usaha yang sedang dilakukan untuk memacu sektor pelancongan di Kelantan.

Semoga itu satu-satunya insiden seperti itu berlaku di lokasi pelancongan di Kelantan dan tidak berulang pada masa depan.

Jika benar ia disebabkan perbuatan ‘budak nakal’, dapat luku-kan kepala ‘sekor-sekor’ baru ada akal. – Mynewshub.TV