MOA Seru Usahawan Dapatkan Pensijilan MYGAP

SHAH ALAM – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menyeru usahawan tani di negara ini mendapatkan pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) bagi memudahkan produk mereka memasuki pasaran antarabangsa.

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan berkata pensijilan itu penting kerana mengiktiraf produk keluaran usahawan tersebut sebagai bersih dan selamat untuk dimakan.

“Malaysia mengguna pakai pensijilan myGap selaras dengan negara ASEAN lain seperti Thailand, Indonesia , Filipina dan Brunei.

“Pengusaha-pengusaha ladang yang mendapat pensijilan myGAP ini lebih mudah untuk meneroka pasaran luar negara kerana semakin banyak negara pengimport pada masa kini mengutamakan dan mensyaratkan pensijilan myGAP bagi tujuan eksport ke negara mereka contohnya China yang mensyaratkan eksport sarang (burung) walet dan durian yang mempunyai myGAP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran ‘Promosi dan Jualan Hasil Tani myGAP’ di pasar raya AEON di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Ishak Ismail.

Mohd Sallehhuddin berkata sejak program pensijilan itu diperkenalkan pada 2002, sebanyak 3,244 ladang merangkumi tanaman padi, sayur-sayuran dan buah-buahan mendapat pengiktirafan myGAP selain 1,029 untuk burung walet dan 126 bagi ladang ternakan seperti kambing dan lembu.

“Sebenarnya, terdapat banyak kelebihan dalam melaksanakan pensijilan ini antaranya meningkatkan produktiviti menerusi pengurusan ladang yang sistematik selain membaiki kualiti produk kerana setiap proses pengeluaran produk itu mesti mengikut tatacara yang betul dan berhemah,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Sallehhuddin berkata kementerian juga mempunyai perancangan untuk membantu usahawan pensijilan myGAP tersebut memasarkan produk mereka di pasar raya AEON seluruh negara, sekal bagi meningkatkan kesedaran pengguna tetang produk yang memiliki pensijilan myGAP tersebut.

“Menerusi promosi dan pasaran menerusi pasar raya ini, kita mahu orang ramai mempunyai akses mudah untuk mendapatkan hasil pertanian seperti sayur-sayuran, buahan, ikan serta ayam dan daging yang dijamin segar, berkualiti dan selamat dimakan,” katanya. – BERNAMA

Loading...