‘Misteri’ Letupan Bom Di Austin Cetus Kebimbangan

AUSTIN – Sekurang-kurangnya dua orang lelaki dalam lingkungan usia 20-an cedera dalam satu insiden letupan bom di Austin, Texas, Amerika Syarikat, semalam.

Kejadian yang mencemaskan itu berlaku seminggu selepas dua bungkusan berisi bom meletup dan meragut nyawa seorang remaja berusia 17 tahun selain mencederakan dua wanita.

Laporan awal mendapati terdapat dua kejadian letupan, namun polis mengesahkan hanya berlaku satu insiden dan pihak berkuasa kini sedang memburu ‘pengebom bersiri’ tersebut.

Menurut akhbar tempatan, polis masih belum mengesahkan jika kejadian ini mempunyai kaitan dengan serangan sebelum ini pada 2 Mac lepas.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil memaklumkan kepada pihak polis dan akan diberikan ganjaran.

Sebaik sahaja pihak berkuasa menawarkan ganjaran AS$100,000 (RM391,600) kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang insiden sebelum ini, serangan terbaharu telah berlaku.

Ganjaran ini adalah tambahan daripada AS$15,000 (RM58,740) yang ditawarkan oleh gabenor negeri sebelum ini.

Ketua Polis Austin, Brian Manley percaya serangan tersebut dilakukan bagi menyampaikan satu mesej.

“Kesemua bom telah meletup selepas bungkusan dibuka,” katanya.

Pihak juga memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak menyentuh apa-apa bungkusan yang diterima tanpa sebab.

Dalang di sebalik kejadian yang meragut jiwa tersebut masih lagi belum dapat dikesan oleh pihak berkuasa.

Sehingga kini, sebanyak 500 ejen persekutuan membantu polis tempatan bagi menyelesaikan kes ini namun sebarang penangkapan masih belum dibuat.

Sejak Isnin lalu, pihak berkuasa telah sebanyak 735 laporan mengenai bungkusan misteri di bandar tersebut.

Orang ramai dinasihatkan untuk berada di dalam rumah buat masa ini sebagai langkah-langkah keselamatan. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

Loading...