Misi Selamat Remaja Terperangkap Di Gua Berakhir

SELAMAT… Tentera Laut Thailand tidak pasti sama ada keajaiban atau kemajuan sains yang bantu kejayaan misi selamatkan pasukan bola sepak remaja negara itu dan jurulatih mereka semalam.

Kesemua 13 mangsa terperangkap di dalam gua Tham Luang yang dinaiki air selama lebih dua minggu itu sebelum akhirnya berjaya dikeluarkan dengan selamat menerusi misi mustahil yang turut menjadi perhatian dunia.

“Kami tidak tahu ia keajaiban, sains atau apa? Semua 13 anggota pasukan Wild Boar berjaya keluar dari gua,” kata kenyataan unit khas tentera negara tersebut atau dikenali sebagai SEAL melalui laman sosial Facebook.

Anggota pasukan berusia dari 11 tahun hingga 16 tahun itu bersama-sama jurulatih mereka berusia 25 tahun, terperangkap pada 23 Jun lalu ketika mereka meneroka gua berkenaan di Chiang Rai selepas latihan sukan.

Hujan lebat kemudian menyebabkan terowong dalam gua itu banjir. Penyelam Britain menemui mereka, yang kelaparan dan berkumpul dalam kegelapan di tebing berlumpur beberapa kilometer di gua itu Isnin minggu lalu.

Selepas mencari jalan selama beberapa hari, operasi menyelamat dilancarkan Ahad lalu apabila empat daripada mereka berjaya dibawa keluar. Empat lagi diselamatkan kelmarin manakala bakinya berjaya dikeluarkan semalam.

Berita kegembiraan tersebut bagaimana disulami kesedihan dengan insiden kematian seorang bekas penyelam tentera laut tempatan yang maut ketika mendiang dalam misi untuk menyampaikan bekalan kepada mereka.

Lima mangsa terakhir dibawa keluar dengan pengusung, seorang demi seorang semalam dengan jurulatihnya, Ekapol Chantawong menjadi orang terakhir dibawa ke hospital dengan helikopter. – Reuters/Mynewshub.TV

Loading...