Miri Terus Catat IPU Berbahaya

KUALA LUMPUR – Kualiti udara di stesen pengawasan udara yang terletak di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak terus berada pada tahap berbahaya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 352 setakat pagi ini.

Semakan di laman sesawang Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) mendapati bacaan IPU di bandar raya itu tidak menunjukkan petanda positif ia akan pulih dalam tempoh terdekat.

Bacaan IPU yang direkodkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2, Miri turut menunjukkan peningkatan kualiti udara kepada 335 iaitu tahap sangat tidak sihat, bagaimanapun ramalan sehingga petang ini dijangka akan menurun antara 270 hingga 293.

Kualiti udara di Sri Aman pula mencatatkan bacaan IPU antara 136 hingga 240 pada tahap tidak sihat.

Sementara di Selangor pula, di Johan Setia Klang (MCAQM), kualiti udara masih berada pada tahap sihat namun masih tinggi jika dibanding dengan kawasan lain, bacaan IPU antara 86 hingga 90.

Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100, sederhana; 101-200, tidak sihat; 201-300, sangat tidak sihat dan melebihi 300, berbahaya.

Orang awam boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.

Loading...