Minta Ekstradisi Pembunuh Jamal

ISTANBUL – Turki meminta supaya 18 suspek yang terlibat dalam pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi diekstradisi dari Arab Saudi ke sini untuk perbi­caraan.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, Ankara mempunyai banyak bukti dalam kes pembunuhan berkenaan.

Pengumuman berkenaan dibuat sehari selepas pendakwa raya Arab Saudi berkata, berdasarkan bukti yang diserahkan oleh Turki, pembunuhan tersebut seolah-olah telah dirancang.

Ini adalah pertama kali pihak berkuasa membuat pengakuan sedemikian.

Terdahulu, pihak berkuasa Arab Saudi menahan 18 lelaki yang dikehendaki Ankara berikutan kecaman antarabangsa terhadap kematian Jamal di kediaman Konsul Besar Arab Saudi di sini pada 2 Oktober lalu.

Justeru, satu permohonan bertulis mengenai ekstradisi terhadap 18 suspek telah disediakan oleh ketua pendakwa raya Istanbul.

“Adalah jelas bahawa sistem kehakiman di Turki lebih baik dalam menyediakan keadilan berhubung kes ini memandangkan Jamal dibunuh di Turki oleh rakyat Arab Saudi yang masuk ke Turki untuk tujuan ini,” kata seorang pegawai kanan Turki.

Dalam perkembangan sama, Menteri Luar Arab Saudi, Adel Ahmed Al-Jubeir semasa memberi tindak balas terhadap langkah permohonan ekstradisi itu menegaskan bahawa suspek akan tetap dibicarakan di negara asal mereka.

“Isu berhubung ekstradisi itu, individu berkenaan merupakan rakyat Arab Saudi. Mereka telah ditahan di Arab Saudi dan satu siasatan sedang dijalankan. Mereka juga akan didakwa di Arab Saudi.

“Kami akan menyelesaikan kes ini. Kita akan mencari kebenaran dan kami akan menggalas tanggungjawab ini bagi memastikan ia tidak berulang lagi,” katanya dalam satu forum pertahanan serantau di Bahrain.

Jamal, 59, yang hidup dalam buangan di AS sejak tahun 2017 tidak dilihat semula selepas kali terakhir memasuki bangunan konsulat untuk mengambil dokumen bagi menguruskan perkahwinannya dengan tunangnya, Hatice Cengiz pada 2 Oktober lalu. – AFP/KOSMO ONLINE

Loading...