MINI Hasilkan Kereta Model Klasik Versi Elektrik

NEW YORK – Bayerische Motoren Werke (BMW) Group mengadakan kejutan dengan melancarkan model MINI yang terbaharu di Amerika Syarikat.

Apa yang membezakan model MINI ini dengan yang sebelumnya adalah kereta ini menggabungkan elemen klasik dan moden: reka bentuk ‘tradisional’ MINI dan enjin yang dikuasakan dengan tenaga elektrik!

Pelancaran kereta konsep tersebut akan diadakan sempena New York International Auto Show yang akan berlangsung pada 30 Mac ini.

Model terbaru ini secara tidak langsung mampu mengelakkan pencemaran udara sekaligus menjimatkan penggunaan tenaga.

Tambahan pula reka bentuk yang klasik menjadi sasaran bagi pengguna yang sudah berumur.

Walau bagaimanapun, syarikat tersebut memberitahu bahawa model ini hanyalah sekadar one off dan hanya akan diperlihatkan di New York Auto Show.

Melalui portal BMW-Group, konsep MINI elektrik ini telah diumumkan pada Pameran Motor Frankfurt 2017 sekaligus membuka jalan untuk kenderaan elektrik pertamanya yang akan dilancarkan pada 2019 sempena ulang tahun ke-60 MINI Klasik.

Dengan empat buah jenama BMW, MINI, Rolls-Royce dan BMW Motorrad, BMW Group merupakan pengeluar kereta dan motosikal premium terkemuka di dunia.

Syarikat tersebut mahu mewujudkan produk yang komprehensif dan komitmen dengan mewujudkan kelestarian ekologi dan alam sekitar.

Terdahulu, MINI Malaysia telah melancarkan model prestasi dan eksklusif Mini John Cooper Works Clubman dan Mini John Cooper Works Countryman di Sepang pada 17 Julai 2017. – MYNEWSHUB.CC/MIZE