Milan Tuan Rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026

SWITZERLAND – Bandar fesyen terkemuka, Milan-Cortina d’Ampezzo dipilih sebagai tuan rumah temasya Olimpik Musim Sejuk 2026 menewaskan bidaan Stockholm, Sweden.

Perwakilan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memberikan 47 undi kepada Itali berbanding 34 yang diperolehi Sweden.

Temasya Olimpik Musim Sejuk 2026 akan diadakan bermula pada 6 hingga 22 Februari.

Pemilihan itu sekali gus memberi peluang kepada Itali menjadi tuan rumah kali ketiga menganjurkan kejohanan itu.

Itali sebelum ini pernah menjadi tuan rumah pada 1956 di bandar Cortina d’Ampezzo dan sekali lagi pada 2006 di Turin manakala Sweden hanya sekali menjadi tuan rumah Sukan Olimpik musim panas pada 1912 di Stockholm.

Kejayaan Milan itu dikongsi kegembiraan oleh Perdana Menterinya, Giuseppe Conte dan Menteri Dalam Negeri, Matteo Salvini di laman sosial masing-masing.

Salvini menjangkakan temasya itu akan menjana keuntungan sebanyak lima bilion Euro (kira-kira RM22 bilion) dan mencipta 20,000 peluang pekerjaan. – Agensi