MIHAS Acara Halal Terbesar Dunia

MIHAS 2018 yang berlangsung di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 4 hingga 7 April 2018, menyaksikan penyertaan 800 syarikat tempatan dan antarabangsa.

Tv AlHijrah, Tv Islam Terbaik Asia yang merupakan Media Rasmi MIHAS 2018 telah menyusun pelbagai aktiviti menarik untuk para pengunjung MIHAS di booth yang terletak di aras 3, MITEC.

Hari pertama MIHAS, 4 April 2018, booth Tv AlHijrah telah dimeriahkan dengan acara-acara seperti, ujibakat penyampai berita dan pengacara, penampilan personaliti Tv AlHijrah dan persembahan Percussion Kolej Komuniti Selayang.

Hari pertama MIHAS juga menyaksikan Tv AlHijrah terus melebarkan sayapnya ke peringkat global dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) dengan Tv Asyl Arna, Kazakhstan.

Memorandum persefahaman yang ditandatangani oleh Dato’ Haji Izelan Basar, Ketua Pegawai Eksekutif Tv AlHijrah dan Mr. Artybrk Bolganbayer, Pengarah Eksekutif Tv Asyl Arna itu, antara lainnya adalah mengenai pertukaran bahan kandungan islamik.

Di samping itu, beberapa pertemuan penting Tv AlHijrah yang diketuai oleh Dato’ Haji Izelan Basar bersama Enjoy Tv dan Korean Halal Institute telah direalisasikan pada hari pertama MIHAS 2018. – MYNEWSHUB.CC