MIHAS 2019 Dijangka Tarik Lebih Penyertaan

KUALA LUMPUR – Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019, yang akan diadakan dari 3 hingga 6 April tahun depan dijangka menarik penyertaan pempamer terbesar dalam sejarah penganjurannya.

Kira-kira 1,000 syarikat dijangka menyertai edisi ke-16 MIHAS, yang dianggap sebagai pameran perdagangan halal terbesar dunia, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Wan Latiff Wan Musa.

“MIHAS 2018 menarik lebih 778 pempamer dari 32 negara dan 21,000 pengunjung dari seluruh dunia. Ia terbukti berjaya menjana jualan bernilai lebih RM1.52 bilion, peningkatan 50.49 peratus berbanding MIHAS 2017,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

MATRADE akan menganjurkan MIHAS di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia sekali lagi pada tahun depan.

Kali ini, ia akan menjadi acara perangkaian lebih besar yang membolehkan syarikat diperakui halal dan sedia perdagangan, jenama utama dan pengedar untuk membina rangkaian bagi menjalankan perniagaan di Asia Tenggara, kata Wan Latiff.

MIHAS 2019 akan berfungsi sebagai platform bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mempamerkan jenama dan perkhidmatan halal mereka kepada pengunjung global, katanya.

Pameran itu yang bertemakan ‘Delivering the Halal Market’ akan mempamerkan teknologi berkaitan revolusi perindustrian keempat (Industri 4.0), katanya.

MIHAS 2019 juga akan terus mengadakan Program Penyumberan Antarabangsa – inisiatif perniagaan-padanan yang efektif yang diperkenalkan pada 2005 dan mencatatkan perdagangan terkumpul lebih US$4.4 bilion bagi para pesertanya.

Program-program lain termasuklah seminar dan persidangan yang akan diadakan serentak seperti Forum Perdagangan dan Persidangan Kewangan Perdagangan Halal.

“MIHAS telah terbukti menjadi platform berjaya bagi syarikat Malaysia terutamanya PKS untuk mencari peluang global dan pada masa yang sama mempelajari mengenai industri halal global daripada peserta antarabangsa lain,” katanya. – BERNAMA

Loading...