MH17: 4 Defendan Dibicara Tanpa Kehadiran Di Mahkamah

AMSTERDAM – Seperti yang dijangkakan, tidak seorang pun tertuduh daripada empat lelaki yang menghadapi pertuduhan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 membuat kemunculan di mahkamah hari ini untuk menghadapi pertuduhan jenayah itu.

Hakim Hendrik Steenhuis yang mengetuai panel tiga hakim dalam ucapan pembukaannya berkata pihak pendakwaan telah membuat segala percubaan untuk menyerahkan saman kepada mereka untuk memaklumkan mengenai kes itu.

Mereka terdiri daripada tiga warga Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov serta seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko.

Mereka menghadapi pertuduhan menyebabkan pesawat Malaysia Airlines MH17 terhempas, mengakibatkan kematian semua orang di dalam pesawat itu, yang boleh dihukum mengikut Perkara 168 Kanun Jenayah Belanda dan membunuh 298 orang di dalam pesawat, yang boleh dikenakan hukuman menurut Perkara 289 Kanun Jenayah Belanda.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara 30 tahun tanpa parol atau peluang untuk dibebaskan lebih awal.

Hakim itu berkata dalam usaha untuk menyerahkan saman itu, pihak pendakwa telah menghantar saman itu kepada seorang daripada defendan di alamat kediamannya yang terakhir tetapi ia telah dikembalikan semula.

Beliau berkata seorang lagi defendan sebaik mengetahui mengenai saman itu, telah mendedahkan kepada media bahawa dia tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Beliau berkata selepas gagal untuk menyerahkan saman itu, pihak pendakwa telah menghubungi mereka melalui media sosial untuk memaklumkan mengenai kes mahkamah mereka.

“Pihak pendakwaan juga cuba menghubungi defendan (pihak tertuduh) melalui FB (Facebook), WhatsApp dan Messenger, tetapi tiada jawapan daripada mereka,” kata hakim itu.

Beliau berkata seorang daripada defendan ketika dihubungi ada menjawab panggilan telefon tetapi menafikan beliau adalah orang yang dicari.

Hakim itu berkata, kemudian ketika dihubungi semula pihak pendakwa, tertuduh tidak mengangkat panggilan tersebut.

Hakim tersebut berkata memandangkan defendan tidak hadir ke mahkamah, kesemua tertuduh akan dibicarakan tanpa kehadiran mereka.

Beliau juga menegaskan seorang daripada defendan, Pulatov diwakili oleh dua peguam dari Belanda dan mereka telah diberi kebenaran untuk mengkaji kes yang dihadapi anak guam mereka untuk persediaan perbicaraan.  

Beliau berkata pihak pendakwa telah memfailkan kes yang mengandungi dokumen lebih 36,000 muka surat.  

Perbicaraan bersambung hari ini pada 10 pagi.

Seramai 298 penumpang dan anak kapal terdiri daripada 43 rakyat Malaysia, 193 warganegara Belanda dan 27 warga Australia terkorban selepas pesawat penerbangan MH17 itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014.

Loading...