Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat Bersidang 6 September

PETALING JAYA – Walaupun Proklamasi Darurat bertarikh 11 Januari 2021 masih berkuat kuasa, sidang Dewan Rakyat bagi penggal keempat, Parlimen ke-14 akan tetap dijalankan pada 6 September depan.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima pemakluman daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Ketua Majlis.

“Selaras dengan Peraturan 11(2), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang memutuskan Takwim Dewan Rakyat bagi mesyuarat pertama mulai 6 September hingga 30 September 2021 bersamaan 15 hari.

“Mesyuarat Kedua mulai 25 Oktober hingga 16 Disember 2021 bersamaan 32 hari,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, katanya, Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 6 September, jam 10.00 pagi bertempat di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Azhar juga mengesahkan bahawa beliau telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri, bagi faedah orang ramai adalah mustahak untuk diadakan satu Mesyuarat Khas sebelum tarikh mesyuarat akan datang yang telah ditetapkan mengikut Peraturan 11(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Bagi tujuan tersebut, saya juga telah dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan untuk Perdana Menteri mengadakan mesyuarat tersebut walaupun Proklamasi Darurat bertarikh 11 Januari 2021 masih berkuat kuasa.

“Sehubungan itu, Setiausaha Dewan Rakyat, Dr. Nizam Mydin Bacha Mydin akan menyusul
dengan mengeluarkan Pemberitahuan Mesyuarat Khas tersebut kepada semua Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada hari ini yang memaklumkan Dewan Rakyat akan bersidang selama lima hari pada Isnin, 26 Julai 2021 hingga Khamis, 29 Julai 2021 dan Isnin, 2 Ogos 2021 mulai jam 10.00 pagi,” katanya.

Beliau juga mengingatkan semua Ahli Dewan supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pelaksanaan persidangan Parlimen yang telah ditetapkan dengan mengambil kira pandangan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang masa. – UTUSAN ONLINE