Mesyuarat Khas Pilih Agong Baharu Pada 24 Januari

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan timbalannya akan diadakan pada 24 Januari ini, menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan oleh Raja-raja dalam pertemuan pada 10.30 pagi tadi di Istana Negara yang turut menetapkan Mesyuarat Khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong yang baharu dan timbalannya akan diadakan pada 31 Januari ini.

Perjumpaan itu dihadiri oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail; Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Pertemuan itu susulan pengumuman Sultan Muhammad V untuk melepaskan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuatkuasa semalam. – BERNAMA