Mestecc Tidak Benar Pengumpulan Sisa Tanpa Had Di Lynas

PUTRAJAYA – Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) memutuskan tidak akan membenarkan pengumpulan sisa tanpa had di Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) berikutan bimbang dengan risiko peningkatan berterusan jumlah sisa tersebut.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini mengenai keputusannya berdasarkan laporan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi mengenai LAMP juga mengemukakan pra-syarat kepada LAMP bagi pembaharuan lesen/kelulusan di masa hadapan untuk memastikan kesejahteraan komuniti dan alam sekitar.

Kementerian itu menegaskan sisa ‘Water Leached Purification Residue’ (WLP) terkumpul di LAMP yang mengandungi bahan radioaktif hendaklah dihantar keluar dari Malaysia.

Kementerian itu berkata ia mengambil maklum bahawa pihak Lynas Corporation Ltd, Australia dan Lynas Malaysia Sdn Bhd telah mengemukakan surat aku janji bertarikh 23 Feb 2012 dan 6 Mac 2012 masing-masing yang memaklumkan komitmen mereka untuk menghantar keluar sisa LAMP dari Malaysia, jika perlu.

Menurutnya, tarikh tamat lesen penstoran sementara sedia ada adalah pada 2 Sept 2019.

Mestecc berkata bagi sisa buangan terjadual ‘Neutralization Underflow Residue’ (NUF) yang bukan radioaktif, LAMP hendaklah mengemukakan suatu pelan tindakan bagi pelupusan buangan terkumpul sebelum ia boleh dipertimbangkan bagi permohonan kelulusan di bawah Peraturan 9 (6) dan 9 (7), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Menurutnya, tempoh kelulusan sedia ada bagi penstoran sementara buangan terjadual itu adalah sah sehingga 15 Feb 2019.

“Kementerian mengambil maklum pelbagai isu yang telah dibangkitkan dalam laporan Jawatankuasa Penilaian tersebut dan berpandangan bahawa isu yang berbangkit daripada pengurusan sisa buangan LAMP hendaklah diberi keutamaan bagi memastikan kesejahteraan komuniti dan alam sekitar,” kata kementerian itu.

Kementerian itu berkata ia memandang serius jumlah terkini dua sisa utama di tapak LAMP iaitu WLP sebanyak 451,564 tan metrik dan NUF sebanyak1.113 juta tan metrik.

Menurutnya, sisa tersebut terkumpul selama enam tahun sejak ia mula beroperasi pada 2012 dan disimpan di kemudahan penstoran residu sementara di LAMP.

Mestecc berkata pihaknya memandang serius jumlah sisa terkumpul di tapak sementara landfill terbuka memandangkan ia terdedah kepada ancaman bencana alam seperti banjir besar yang boleh memberi risiko kepada komuniti sekeliling dan alam sekitar.

Menurutnya walaupun pihak Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas Malaysia) sedang menjalankan kajian terhadap kitar semula sisa WLP dan NUF yang berpotensi sebagai bahan kondisioner tanah yang dinamakan Condisoil, namun setelah mendapat pandangan pakar-pakar, Jawatankuasa Penilaian melaporkan jangka masa bagi kajian tersebut adalah tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan sama ada Condisoil selamat digunakan.

“Kementerian bersetuju dengan syor Jawatankuasa Penilaian bahawa kajian jangka masa panjang boleh diteruskan tanpa menggunakan sisa WLP,” katanya.

WLP adalah sisa pepejal yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi (NORM) dengan keradioaktifan 6.2 Bq/g dan pengurusan sisa itu dikawal selia oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) menurut Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 dan peraturan-peraturan lain yang berkaitan dengannya.

NUF pula dikategorikan sebagai buangan terjadual dan pengurusan residu ini dikawal selia oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. – BERNAMA

Loading...