Mesej Dakwa PM Akan Umum Letak Jawatan Palsu

KUALA LUMPUR – Mesej tular di media sosial mengenai Tun Mahathir Mohamad akan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dalam masa terdekat adalah palsu.

Menurut seorang pegawai dari Pejabat Perdana Menteri yang enggan dikenali berkata, penularan mesej itu berlaku selepas kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai kelmarin.

“Betul, ini semua tidak benar,” katanya memetik laporan sebuah portal berita.

Menurut mesej berkenaan, agensi berita diarahkan agar tidak memberi akses kepada Tun M untuk sebarang bentuk wawancara secara langsung bagi menghalangnya untuk mengatakan perkara yang tidak menyenangkan termasuk berita peletakan jawatan tanpa mengumumkan penggantinya.

“Tun M sudah terbang ke luar negara sejam yang lalu dan berita ini disahkan sekarang. Esok, satu referendum akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Harapan tanpa kehadiran Tun M,” kata mesej berkenaan.

Bagaimanapun pegawai berkenaan menafikan mesej berkenaan dan memberitahu, Tun M menghadiri mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 di Jabatan Perdana Menteri pagi ini.

“Beliau bukan berada di luar negara sebaliknya sedang bekerja seperti biasa,” katanya.

Pada PRK Tanjung Piai, Sabtu lalu, calon BN Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi berbanding calon PH, Karmaine Sardini yang hanya memperolehi 10,380 undi. – Sinar Harian

Loading...