Mesej Berantai Whatsapp Cetus Maut

WHATSAPP dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya terkejut dengan rentetan pembunuhan tanpa undang-undang di India selepas khabar angin mengenai penculik kanak-kanak, pencuri dan pemangsa seksual tersebar menerusi platformnya.

Kejadian itu mendapat perhatian kerajaan yang menganggap aplikasi itu tidak bertanggungjawab.

Media tempatan melaporkan lebih 20 orang terbunuh di India dalam tempoh dua bulan lalu selepas khabar angin terbabit tersebar.

Serangan itu, biasanya menyasar orang luar, menyebabkan pihak berkuasa bergelut melancarkan tindakan berkesan, dengan kempen kesedaran dan amaran awam.

Satu kenyataan tegas dikeluarkan Kementerian Elektronik dan Teknologi Maklumat kelmarin menyatakan ‘bantahan mendalam’ terhadap pengurusan kanan WhatsApp berhubung ‘mesej tidak bertanggungjawab dan mencetuskan huru-hara.’

“Kerajaan juga menyampaikan dengan jelas bahawa WhatsApp perlu mengambil tindakan segera menamatkan ancaman ini,” katanya.

Dalam sepucuk surat kepada kerajaan India, WhatsApp berkata, ia ‘sangat peduli terhadap keselamatan rakyat’ dan mengambil langkah menghalang penyebaran berita palsu dan penipuan.’

“Kami terkejut dengan keganasan terbabit dan akan bertindak segera terhadap isu ini,” kata wakil WhatsApp.

Syarikat itu berkata, ia sedang bekerja dengan penyelidik India untuk memahami lebih jelas masalah itu dan memperkenalkan perubahan dikatakan dapat mengurangkan penyebaran mesej tidak dikehendaki. –AFP

*Video sekadar hiasan..

Loading...