Merokok, Ketagihan Yang Membunuh

MELAKA – Masyarakat tidak boleh memandang ringan akan bahaya merokok kerana ia satu ketagihan yang boleh membunuh bukan sahaja perokok itu sendiri tetapi juga orang di sekeliling mereka terutama anggota keluarga khususnya anak-anak.

Pengerusi Majlis Penasihat Persekutan Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata tabiat merokok adalah satu ketagihan yang memberikan kepuasan sementara yang perlu diulang berkali-kali untuk mendapat kepuasan yang berpanjangan.

Dr Musa, seorang pakar pediatrik (pakar kanak-kanak), berkata sebagai seorang pakar perubatan profesional beliau sering melihat sendiri kerosakan dan tragedi yang diakibatkan oleh tabiat merokok.

“Kanak-kanak boleh menghidapi penyakit saluran pernafasan disebabkan ibu bapa mereka merokok, menjadi yatim piatu apabila ibu bapa meninggal dunia akibat barah paru-paru, kematian yang dahsyat dan berlaku secara perlahan-lahan disebabkan kanser paru-paru yang dideritai penagih rokok sehinggakan hendak menarik nafas pun menjadi satu penyiksaan bagi mereka.

“Itu belum lagi kematian yang berpunca daripada penyakit strok dan jantung yang dikaitkan dengan tabiat merokok,” katanya kepada Bernama dalam temu bual melalui aplikasi Whatsapp, baru-baru ini.

Melaka mempunyai lima kawasan dengan jumlah keluasan 338 hektar sebagai kawasan bebas asap rokok yang meliputi Bandar Warisan Dunia Melaka, Pusat Perdagangan Melaka Raya, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh dan pusat-pusat bandar Alor Gajah dan Jasin.

Mereka yang ditangkap merokok di tempat-tempat tersebut boleh didenda dari RM300 hingga denda maksimum RM5,000.

Selari dengan matlamat ‘Malaysia Baru’, Dr Musa berkata kerajaan harus meletakkan kesihatan rakyat sebagai matlamat utama dan beliau memuji keberanian dan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat dengan menaikkan harga rokok dan mengenakan larangan merokok di tempat-tempat awam.

Dr Musa berkata apa yang membimbangkan adalah sekitar 46 percatus lelaki dewasa di negara ini adalah perokok dan penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok membunuh 20,000 orang rakyat Malaysia setiap tahun.

Katanya komuniti kesihatan juga harus menangani masalah ketagihan rokok dan semua pihak harus menghulurkan tangan membantu perokok yang berniat hendak berhenti merokok pada bila-bila masa sepanjang hayat mereka.

“Satu pendekatan kesihatan awam yang holistik sepatutnya memasukkan rawatan bagi ketagihan tokok di klinik-klinik. Para penagih rokok pula harus diberi lebih akses kepada sokongan kesihatan bersifat psikososial dan berasaskan bukti, untuk membantu mereka membuang ketagihan itu,” kata beliau.

Dr Musa berkata menurut Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1995, merokok adalah haram, tetapi perkara itu tidak begitu diendahkan oleh umat Islam, justeru beliau menyeru umat Islam agar mematuhi fatwa tersebut yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangssan setelah mengambil kira pandangan pakar-pakar kesihatan. – BERNAMA

Loading...