Merokok Di Kawasan Larangan, 4 Pelajar Sekolah Dikompaun

GEORGE TOWN – Empat pelajar sekolah menengah dikompaun oleh anggota penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang kerana kesalahan merokok di kawasan larangan merokok bersebelahan sebuah stesen minyak di sini, hari ini.

Ketua Cawangan Inspektorat Dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Ong Ang Guan berkata keempat-empat pelajar itu ditahan ketika masih memakai uniform sekolah.

“Mereka ditangkap atas kesalahan memiliki bahan tembakau iaitu kotak rokok dan rokok di dalam poket uniform yang dipakai dan berikutan itu kami keluarkan empat kompaun bernilai RM50 setiap satu,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata jika keempat-empat pelajar itu tidak membayar kompaun, mereka akan dihadapkan ke mahkamah yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kami juga turut mengeluarkan satu notis kompaun kepada penjual yang menjual rokok kepada pelajar di bawah umur di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Ong berkata dalam operasi hari ini, pihaknya turut memeriksa 25 kedai iaitu tujuh restoran dan 18 gerai di bawah Akta Makanan 1983 dan hasil pemeriksaan itu mendapati dua restoran dan sebuah gerai beroperasi dalam keadaan tidak bersih.

“Arahan penutupan selama 14 hari bermula hari ini telah dikeluarkan bagi pengusaha terbabit menjalankan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Beliau berkata sejumlah 38 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya pengendali makanan tidak menerima suntikan tifoid dan tidak ada latihan kursus pengendalian makanan seperti yang ditetapkan.

“Ada juga pengendali makanan didapati tidak memakai apron, topi serta memakai cincin mahupun gelang… Kesemua kesalahan ini adalah di bawah Akta Makanan 1983,” katanya dan menambah keseluruhan kompaun bernilai RM16,150. – BERNAMA

Loading...