Menteri Tak Akan Kebuluran Jika Gaji Dipotong – Mahathir

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaan untuk memotong 10 peratus daripada pendapatan pencennya bagi mengurangkan beban kerajaan ketika ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, persediaan itu telah dinyatakan sebelum ini.

“Saya sudah nyatakan bahawa saya bersedia untuk potong pencen sebanyak 10 peratus. Tapi untuk menteri saya kata kalau tidak boleh 30 peratus, 10 peratus pun boleh. Ia tidak sebabkan mereka kebuluran,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada bersedia untuk memotong jumlah pencen yang diterimanya ketika ini.

Terdahulu, Dr Mahathir dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat pagi tadi bersetuju dengan cadangan supaya gaji menteri dipotong sebanyak 30 peratus bagi mengurangkan bebanan kerajaan dalam tempoh pandemik koronavirus (Covid-19).

Katanya, setiap menteri tidak akan kebuluran sekiranya gaji yang diterima mereka ketika ini dipotong sebanyak 30 peratus.

“Ada cadangan supaya gaji menteri dikurangkan 30 peratus. Dalam zaman Covid-19, saya tak fikir menteri akan kebuluran kerana dikurangkan gaji 30 peratus.

“Sebaliknya terdapat ramai yang tidak ada pendapatan sama sekali kerana tidak bekerja atau berniaga lagi dan keluarga mereka turut menderita.

“Mungkin (kalau tidak boleh) tidak 30 peratus. Mungkin (mungkin boleh) hanya 10 peratus,” kata beliau. – Sinar Harian