Menteri Kewangan Cuba Sabotaj Melayu Di FELDA?

KUALA LUMPUR – Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian FELDA’ yang dibentangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Dewan Rakyat hari ini menggambarkan seolah-olah tiada kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap organisasi itu sebelum ini.

Sedangkan menurut ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini telah menyusun semula pentadbiran Felda dengan salah satu usahanya ialah melantik Tan Sri Shahrir Samad selaku Pengerusinya.

Justeru ujar beliau, tidak adil untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini berterusan memburukkan pentadbiran kerajaan yang lalu.

“Hari ini Kementerian Ekonomi membentang satu kertas putih untuk memohon pinjaman daripada kerajaan. Satu persoalan, sama-sama kerajaan apa perlunya kita bentang kertas putih untuk mendapatkan RM6 bilion?

“Dicerita keburukan semuanya zaman (bekas Pengerusi Felda) Tan Sri Isa (Samad). Sedangkan YB Pekan (Najib) telah mengubah Pengerusi kepada Tan Sri Shahrir pada 1 Januari 2017. Bagaimana selepas itu Felda telah menyusun semula.

“Setiap masa ahli Parlimen yang mempunyai kawasan Felda diberi taklimat untuk menyusun semula kerana Felda mempunyai aset yang banyak, RM25 bilion. Manakala liabilitinya cuma RM9 bilion. Segala perancangan yang ada di Kertas Putih ini telah dibentangkan kepada kami selaku pihak wakil kerajaan. Pelbagai rancangan dari peneroka, generasi kedua, perumahan dan pelbagai lagi telah dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Kertas Putih tersebut di Dewan Rakyat, Rabu.

Sehingga sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ujar Hasbullah, kestabilan pengurusan Felda telah berjaya meyakinkan institusi kewangan seperti bank.

“Bila berubah kerajaan, bagaimana? Kita boleh lihatlah, semuanya salah kerajaan dulu. Tapi pasaran saham bagaimana? Nilai matawang dibandingkan dengan dolar bagaimana? Ini semua menyebabkan kesan-kesan yang terjadi.

“Tetapi hari ini apabila dibentangkan Kertas Putih, seolah-olah tidak ada kebaikan yang telah dibentangkan oleh kerajaan yang dulu. Ini realitinya,” katanya.

Tambah beliau, gambaran yang ditunjukkan kerajaan kepada rakyat hari ini adalah seolah-olah tiada kesepakatan di antara Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Kewangan.

“Hari ini, gambaran yang ditunjuk dalam Dewan ini ialah, seolah-olah tidak ada kesepakatan antara Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.

“Saya boleh gambarkan Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) taknak beri pinjam kepada Menteri Ekonomi kerana nak membetulkan balik pinjaman tadi boleh menyelesaikan masalah peneroka di seluruh Malaysia.

“Maka terasa juga orang Melayu, bagaimana Menteri Kewangan cuba mensabotaj orang Melayu di Felda. Ini adalah fakta yang boleh kita dapatkan laporan,” katanya.

Tegas Hasbullah, apa yang disebutkannya itu boleh dirujuk kepada Shahrir selaku individu yang bertanggungjawab terhadap Felda dahulu.

“Apa yang saya sebut, saya bertanggungjawab. Boleh panggil Tan Sri Shahrir untuk mendapatkan kebenaran,” katanya.

Pagi tadi ketika membentangkan Kertas Putih tersebut, Azmin berkata kerajaan bersetuju memberi bantuan kewangan RM6.23 bilion kepada Felda berbentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat mengikut keperluan.

Ujar Azmin, dengan model baharu ini, Felda akan menyuntik tenaga baharu dan mengoptimumkan potensi untuk maju serta memodenkan industri pertanian. – Agenda News

Loading...