Menteri Ke Semenyih Bukan Berkempen, Kata Menteri

KEHADIRAN beberapa menteri Pakatan Harapan (PH) dari kalangan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam program melibatkan kementerian masing-masing di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih telah dirancang awal dan bukan bertujuan untuk berkempen.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun berkata, bagi kementeriannya, semua perkara (lawatan kerja) yang diadakan hari ini telah dirancang awal dan tarikhnya kebetulan menghampiri pilihan raya kecil (PRK) di kawasan itu.

“Adalah tidak adil sekiranya ada PRK Semenyih, maka program bantuan perlu dihentikan. Semua bantuan perlu melalui beberapa proses yang telah dilakukan sejak awal lagi.

“Jadi, sebab itu perkara ini tidak sepatutnya dilihat sebagai menghalang kementerian untuk memberi khidmat kepada rakyat kerana fokus kita adalah untuk membantu rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bazar Mara Semenyih, di Semenyih hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Thomas Fann yang menegur sikap pemimpin PH terutamanya menteri dan timbalan menteri supaya meletakkan standard etika yang tinggi berdasarkan kepada prinsip pilihan raya bersih dan adil.

Ia susulan lawatan kerja Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang diadakan dalam tempoh seminggu ini.

Rina yang juga Ketua Srikandi Bersatu bagaimanapun mengambil maklum akan teguran yang diberikan.

“Kita mengambil maklum teguran ini. Namun, seperti yang saya sebutkan, program menjaga rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) telah diadakan dari tahun lepas lagi.

“…jika kita ada agenda politik, kita akan fokus bantuan itu kepada pengundi sahaja sebaliknya saluran bantuan hari ini adalah kepada mereka yang membuat permohonan awal sebelum diluluskan,” katanya.

Terdahulu, Rina telah merasmikan kursus Seni Tangan Jahitan Kreatif Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Balai Raya Kampung Rinching Hilir dan membuat lawatan ke PPRT di Jalan Sungai Lalang. – BERNAMA