Menteri Integriti Politik Lemah Mungkin Disingkir

KUALA LUMPUR – Penganalisis politik tidak menolak kemungkinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan rombakan Kabinet untuk fasa kedua pentadbiran kerajaan PH.

Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, Perdana Menteri boleh menggugurkan mana-mana menteri atau timbalan menteri yang dirasakan integriti politik mereka telah terjejas.

Menurutnya, Dr Mahathir barangkali mahukan barisan menteri dan timbalan menteri yang boleh bekerja sebagai satu pasukan yang sekata dalam pendirian Kabinet terhadap sesuatu isu tanpa mengeluarkan kenyataan peribadi.

“Perdana Menteri boleh gugurkan sesiapa yang dirasakan integriti politik telah terjejas kerana berpegang kepada prinsip kepimpinan melalui teladan dan mahu menteri menjadi contoh seperti sebelum ini.

“Jika rombakan Kabinet berlaku , itu adalah untuk memastikan Kabinet yang sudah masuk fasa kedua dengan menterjemah dasar kepada pelaksanaan dengan sistem penyampaian yang lebih baik.

“Bagi menterjemahkan perkara itu Dr Mahathir memerlukan menteri yang bermotivasi tinggi dengan keazaman untuk melakukan perubahan, memandangkan masa juga pantas berlalu jika mengambil tempoh masa dua tahun untuk membetulkan kesilapan lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sivamurugan menegaskan, keazaman politik (political will) akan diutamakan sekiranya rombakan Kabinet berlaku.

“Lazimnya, menteri atau timbalan menteri yang tidak menunjukkan prestasi akan digugur atau ditukar ke kementerian lain.

“Memandangkan Kabinet ini selepas enam bulan dilantik, Perdana Menteri akan menghalusi keperluan untuk digugur atau diganti.

“Kabinet PH ini hampir 80 peratus tidak berpengalaman dan namun sudah pasti ekspektasi juga tinggi terhadap mereka,” ujarnya.

Desas-desus Kabinet PH akan dirombak semakin hangat diperkatakan apabila Dr Mahathir bersikap terbuka untuk melakukannya sekiranya menerima pencalonan baharu daripada PKR yang selesai mengadakan pemilihan parti tempoh hari.

Bagaimanapun, dalam temu bual dengan The Straits Times, Singapura sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan kata putus adalah budi bicaranya kerana selaku Perdana Menteri, beliau berhak memilih anggota Kabinet yang beliau selesa bekerja bersama.

“Mereka boleh mencalonkan nama, mengemukakan hujah mereka, namun saya mempunyai pandangan tersendiri kerana pada dasarnya, saya memerlukan orang yang saya selesa bekerja bersama.

“Jadi, sama ada saya menerima calon mereka bergantung kepada budi bicara saya. Walaupun PKR adalah parti terbesar (dalam PH), tidak banyak perbezaan dari segi jumlah kerusi dimenangi PKR, DAP dan parti saya sendiri (Bersatu),” katanya.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, isu rombakan Kabinet hanya sekadar spekulasi dan ia tidak dibincangkan dalam mesyuarat PH.

Katanya, beliau tidak mendengar kemungkinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan rombakan Kabinet.

“Saya tidak mendengar perkara ini dalam Kabinet atau secara dalaman. Mungkin ia tak lebih sekadar spekulasi dan khabar angin.

“Walaupun jika ia berasas, akhirnya Perdana Menteri yang membuat keputusan,” katanya.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, akan melakukan rombakan Kabinet bulan depan kerana tidak berpuas hati dengan prestasi beberapa menteri Bersatu.

Bagaimanapun, portal itu mendakwa hanya Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun bakal digugurkan.

Kuota Bersatu akan diganti oleh Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Ahli Parlimen Sri Gading yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh. – Sinar Harian Online

Loading...