Menteri Gesa Siasatan Penuh & Bebas Insiden Rusuhan Kuil

KUALA LUMPUR – Empat menteri dan seorang timbalan menteri mendesak polis melaksanakan siasatan penuh dan bebas bagi mengenal pasti dalang di sebaik rusuhan dan serangan terhadap sebuah kuil Hindu di USJ 25, Subang Jaya, dekat sini, awal hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy, ketika membaca kenyataan bersama, berkata mereka yang bertanggungjawab atas kekecohan di Kuil Sri Maha Mariaman itu perlu ditangkap dan dihukum.

“Siasatan ini perlu dijalankan oleh polis Bukit Aman dan tidak dibiarkan kepada polis Subang Jaya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Sidang media tersebut turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A. Xavier Jayakumar, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah.

Waytha Moorthy, yang memegang portfolio perpaduan negara dan integrasi nasional, mendakwa beliau dimaklumkan bahawa sekurang-kurang 50 orang bersenjatakan batang besi dan parang telah memasuki kuil tersebut dan menyerang penganut termasuk wanita,

Susulan insiden tersebut, katanya, sebilangan orang mengalami kecederaan dan dimasukkan ke hospital serta beberapa buah kenderaan dan motosikal turut dibakar.

Polis berkata sejumlah 18 kereta dan dua buah motosikal dibakar dalam kejadian ganas itu.

Setakat ini, polis telah menahan tujuh lelaki berusia lingkungan 30-an berhubung kejadian yang bermula jam 2 pagi itu, dipercayai berpunca akibat perselisiihan membabitkan isu perpindahan kuil tersebut. – BERNAMA

Loading...