Menteri Gesa Pekebun Kecil Sawit Dapatkan Sijil MSOP

KUCHING – Kerajaan Sarawak dan Kementerian Industri Utama akan bekerjasama bagi memastikan lebih ramai pekebun kecil kelapa sawit dsijilkan di bawah Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSOP).

Menterinya Teresa Kok berkata, tujuannya ialah untuk membuktikan kepada dunia bahawa minyak sawit Malaysia dihasilkan daripada sumber penanaman lestari dan amalan pertanian baik.

Teresa berkata, kerajaan akan membayar kos pensijilan dengan syarat pekebun kecil mematuhi kaedah dan peraturan ditetapkan.

Pekebun kecil juga akan diberikan geran tahunan bagi membantu mereka mendapatkan pensijilan.

“Kementerian dan kerajaan negeri akan mengadakan lebih banyak pertemuan bgi membincangkan isu ini.

“Setelah kita sijilkan pekebun kecil dan kilang serta kilang penapisan minyak sawit, maka hasil daripada pekebun kecil tanpa sijil tidak akan diterima,” katanya selepas mengunjung hormat pejabat Ketua Menteri, Abang Johari Openg di sini, semalam.

Teresa berkata, mereka berbincang tentang kerjasama bagi mengatasi isu berkaitan minyak sawit.

Merujuk rancangan Kesatuan Eropah untuk menghentikan import minyak sawit, beliau berkata, Sarawak yang mempunyai ladang kelapa sawit yang luas dan negara secara keseluruhannya akan terkesan kerana EU merupakan pasaran kedua terbesar minyak sawit Malaysia.

“Kita tidak berpuas hati. Kenapa Penggunaan Tanah Tidak Langsung (ILUC) minyak soya dianggap rendah, sedangkan minyak sawit dikatakan tinggi?

“Kementerian telah menghantar delegasi ke EU bagi membahaskan metodologi yang digunakan.

“Kita berharap mereka akan menimbangkan kedudukan Malaysia kerana kita merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia,” katanya. – FMT

Loading...