Menteri Dikaitkan Video Intim Hadir Mesyuarat Kabinet

PUTRAJAYA – Menteri yang dikaitkan sebagai individu dalam beberapa keping gambar dan video intim yang tersebar sejak semalam dimaklumkan menghadiri mesyuarat Kabinet seperti biasa hari ini.

Beliau dilihat berada di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini iaitu lokasi mesyuarat itu diadakan, kira- kira pukul 8.45 pagi.

Difahamkan menteri berkenaan mempunyai janji temu bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada pukul 9 pagi, sebelum mesyuarat berlangsung.

Perkara yang dibincangkan antara menteri itu bersama Perdana Menteri bagaimanapun tidak diketahui.

Pertemuan itu berlangsung selama 20 minit dan turut difahamkan janji temu itu sudah diatur sejak seminggu lalu.

Awal pagi tadi, setiausaha sulit kepada seorang timbalan menteri membuat pengakuan mengejutkan apabila bersumpah dia merupakan individu dalam sebuah klip video seks bersama seorang lelaki mirip wajah menteri.

Muhammad Haziq Aziz, 27, memuat naik video berdurasi 30 saat itu dalam akaun Facebooknya kira-kira pukul 2 pagi tadi dan turut menamakan seorang menteri yang juga pemimpin kanan sebuah parti kerajaan terbabit dalam hubungan seks dengannya.

Menurutnya, perlakuan seks itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, Sabah ketika pilihan raya kecil Parlimen Sandakan.

Semalam, Dr. Mahathir pada sidang medianya memaklumkan tidak mengetahui mengenai penyebaran mengenai beberapa keping gambar dan video ‘intim’ mirip seorang menteri. – UTUSAN ONLINE

Loading...