Menteri Besar Selangor: Siapa Ganti Mohamed Azmin?

SHAH ALAM – Selangor, antara negeri pertama ditadbir PKR sejak 2008, dan selesa dengan kepimpinan sedia ada yang diterajui Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal mempunyai Menteri Besar yang baharu.

Hari ini tanda tanya mengenai status Mohamed Azmin terjawab apabila Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa baginda memberi perkenan supaya Mohamed Azmin memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, namun kekal sebagai menteri besar sehingga tempoh peralihan kuasa kepada menteri besar baharu dapat dijalankan dengan lancar.

Jika dilihat dalam ruangan komen di media sosial, rata-rata rakyat Selangor masih mengharapkan pemimpin berusia 54 tahun yang sentiasa kelihatan segak kekal sebagai menteri besar kerana kejayaannya mentadbir negeri itu selama ini, namun pada masa sama mereka gembira apabila Mohamed Azmin dilantik sebagai menteri persekutuan.

Mohamed Azmin bersama 13 anggota Kabinet Persekutuan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara.

Siapakah yang bakal mengisi kekosongan jawatan nombor satu di negeri termaju di negara ini itu?

Penganalisis politik, Che Hamdan Che Mohd Razali berpendapat pelantikan Mohamed Azmin sebagai menteri dibuat berdasarkan kepada kredibiliti beliau yang cemerlang mentadbir Selangor selepas mengambil alih tampuk kepimpinan pada 2014.

Kedudukannya dalam PKR sebagai Timbalan Presiden parti memperlihatkan ketokohan Mohamed Azmin dalam menangani isu dan kemelut politik.

“Beza Mohamed Azmin dengan pemimpin lain ialah beliau berani buat sesuatu terutama tindakan politik melibatkan hubungan antara Pakatan Rakyat (sebelum ini) di mana beliau berjaya menyatukan parti-parti dalam Pakatan Rakyat, PKR-PAS-DAP dan kini parti-parti gabungan dalam Pakatan Harapan. Beliau pragmatik dan berani buat keputusan.

“Daripada segi pemerintahan banyak dasar beliau adalah dasar yang popular dalam kalangan rakyat, ini adalah kelebihan beliau. Mohamed Azmin mentadbir sebuah negeri kaya dan beliau bijak menggunakan sumber sedia ada yang mampu memberi populariti kepada PKR dan beliau sendiri,” katanya kepada Bernama.

Menurut pensyarah kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA Kampus Raub, Pahang, cabaran lebih besar kini adalah untuk mencari pengganti Mohamed Azmin, sama ada individu itu mampu ‘berdiri sama tinggi’ dengan Mohamed Azmin atau lebih baik daripada beliau.

Jika dilihat kepada keputusan PRU14, Che Hamdan berkata rakyat Selangor ternyata berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri PH pimpinan Mohamed Azmin dan ia diterjemahkan dengan ‘hadiah’ kemenangan besar gabungan menguasai 51 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.

“Selangor dah stabil, jadi cabaran pula pada pengganti nak lari daripada bayang-bayang Mohamed Azmin. Dulu selepas ‘Langkah Kajang’ ramai yang tanya mampukah Mohamed Azmin nak jadi macam Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (bekas Menteri Besar Selangor), tapi bila beliau mengambil alih beliau guna pendekatan berbeza tetapi lebih popular berbanding Abdul Khalid,” katanya.

Dalam konteks ini, Che Hamdan berkata beliau melihat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua yang juga anggota Exco kerajaan negeri, Amirudin Shari menjadi ‘pilihan’ Mohamed Azmin sebagai calon untuk menggantikan tempatnya sebagai menteri besar, namun pada masa sama kredibiliti seorang lagi ADUN yang turut disebut-sebut sebagai calon menteri besar, Dr. Shaharuddin Badaruddin tidak boleh dipertikai.

Katanya ADUN Seri Setia itu yang juga anggota Exco baharu dikatakan mempunyai hubungan agak rapat dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak kedua-duanya bergiat aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) lagi.

“Amirudin tidak dinafikan masih muda dan berpengalaman dalam kerajaan negeri selepas dilantik sebagai Exco untuk penggal kedua, namun orang lebih nampak beliau sebagai ‘orang Azmin’ dan beliau juga berasal dari Johor.

“Cuma pengalaman daripada segi dalam organisasi dan parti saya rasa tidak ada masalah untuk Dr. Shaharuddin yang merupakan anak jati Selangor. Beliau berpengalaman dalam PKR sebagai naib presiden dan dari segi diplomasi, beliau boleh jadi ‘jambatan’ antara parti-parti dalam PH selain mampu jalin hubungan baik dengan gerakan-gerakan sivil hasil pengalaman beliau sebagai aktivis ABIM,“ katanya.

Apa yang pasti, perasaan Mohamed Azmin berhubung keputusan beliau menerima pelantikan sebagai menteri jelas bercampur baur ketika ini, dan ia dizahirkan menerusi kenyataannya hari ini: “Amat berat untuk saya meninggalkan rakyat Selangor, namun saya insaf bahawa saya juga mempunyai tanggungjawab lebih besar terhadap negara dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.” – BERNAMA

Loading...