Menteri Beri Amaran Pengusaha Kilang Di Pasir Gudang

KUALA LUMPUR – Pengusaha kilang di sekitar Pasir Gudang diingatkan tidak membuang sisa toksik berjadual dalam simpanan premis masing-masing kerana panik dengan pemeriksaan pegawai penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin menegaskan, tindakan pengusaha-pengusaha kilang yang cemas itu akan mengundang penambahan sumber baharu.

“Kita cuba pastikan tiada sumber baharu, jadi pengusaha kilang yang ada sisa toksik berjadual ini tidak buang kerana mereka cemas (panik) dengan pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan pihak penguatkuasa.

“Memang sekarang pegawai penguatkuasa pergi periksa setiap kilang di Pasir Gudang, tapi kalau pengusaha kilang ikut undang-undang tak payah takut, jangan buang merata-rata hanya kerana takut dengan pegawai yang pergi periksa,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Bee Yin memberitahu, semalam, Pegawai Daerah Pasir Gudang meminta polis melakukan sekatan jalan raya pada waktu malam bagi langkah mengelakkan pengusaha kilang membuang sisa-sisa toksik ini merata-rata.

Beliau menambah, mana-mana kilang yang menyimpan sisa kimia pada masa ini perlu melakukan tindakan bijak dengan melupuskan bahan berbahaya berkenaan di tapak pelupusan berlesen agar pencemaran ini tidak terus memberi risiko keselamatan dan kesihatan penduduk.

Sementara itu, Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Bakri ketika ditanya berkenaan keperluan untuk memindahkan penduduk sekitar Sungai Kim Kim, katanya, perkara itu masih dalam pemantauan kualiti udara dan keputusan untuk pemindahan ini akan diputuskan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat).

“JAS, Jabatan Kimia dan Petronas telah memasang alat pengesan kualiti udara di sekitar Pasir Gudang untuk pemantauan teliti sebelum sesuatu tindakan lanjut diumumkan,” jelasnya.

Katanya, JAS sejak Ahad telah menggerakkan asetnya termasuk penggunaan alat pengesan gas selain pembabitan 100 pegawainya ke kawasan terjejas pencemaran sisa gas kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, sejak Ahad lalu.

Langkah itu bagi menangani penularan ancaman gas berbahaya ke kawasan lain.

Pada masa yang sama, sebanyak 252 kilang kimia di sekitar Pasir Gudang dikenal pasti dan kesemuanya akan diperiksa dan dipantau dalam tempoh terdekat.

Bee Yin juga memaklumkan sebanyak empat kontraktor akan dikerahkan untuk membersihkan sungai.

“Sasaran kerajaan Johor tujuh hari pembersihan, apa yang diberitahu oleh Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian akan lantik kontraktor (lagi dua), JAS ada satu, saya akan minta tambah lagi satu. Saya harap ia akan harap kurang dari tujuh hari,” katanya.

Beliau menambah, dalam tempoh kritikal ini kerajaan berusaha sehabis baik untuk mengawal keadaan ini, ia lebih baik selamat daripada menyesal. – Sinar Harian

Loading...