Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Suami Isteri Gaduh Pasal...

BULAWAYO - Seorang anggota tentera wanita Zimbabwe terlepas daripada hukuman penjara selepas suaminya,...

Cecah Usia 52 Tahun,...

SIAPA tidak kenal dengan figura kacak Bollywood dari India ini? Nama Shah Rukh...

Hamba Seks Tak Tahan...

Seorang wanita Yazidi (salah satu etnik Kurdis) didakwa hamba seks militan ISIS merayu agar...

KUIS Buka Peluang Sambung...

KUALA LUMPUR – Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) kini membuka peluang kepada pelajar...

Mengembalikan Kegemilangan Felda – Mustapa

SEMUA rakyat Malaysia pasti kenal Felda. Sebuah agensi yang berjaya membangunkan tanah untuk mengeluarkan peserta daripada kemiskinan sehingga mendapat pengiktirafan Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia.

Felda sentiasa mendapat perhatian daripada kerajaan. Ia diletakkan secara langsung di bawah tanggungjawab Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Saya telah diberikan tanggungjawab untuk membantu perdana menteri menguruskan soal ‘harian’ Felda. Dalam tempoh setahun ini, saya telah melawat beberapa tanah rancangan di hampir semua negeri. Saya kagum melihat kemudahan infrastruktur, rumah tersusun dan keadaan amat harmoni. Rakyat yang tinggal di kampung tradisional iri hati dengan peneroka Felda.

Apabila mula bertugas, saya bersama dengan rakan-rakan di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri melihat semula masalah yang dialami oleh Felda, khususnya susulan kepada Kertas Putih yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April 2019.

Walaupun kita berbangga dengan kejayaan Felda sebelum ini, namun masih ada beberapa isu yang perlu diselesaikan supaya Felda berada di atas landasan yang mandiri dan mampan. Pada Jun 2020, kabinet telah meluluskan penubuhan sebuah pasukan khas bagi menangani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Felda. Ia diketuai oleh Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Pasukan yang turut disertai Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas pengerusi, Tan Sri Ahmad Bakke Salleh bersama tujuh anggota yang mewakili pelbagai kementerian serta industri telah membuat beberapa cadangan bagi memulihkan Felda.

Beberapa isu yang dikenal pasti sedang dihadapi oleh Felda berpunca daripada empat perkara utama iaitu:

1. Model tanam semula yang tidak lestari Felda terpaksa menanggung kos yang besar disebabkan ketidakmampanan model tanaman semula yang melibatkan kos kira-kira RM300 juta setahun. Jumlah itu tidak termasuk pemberian pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil kepada peneroka ketika tempoh tanam semula berjumlah RM135 juta setahun. Akibatnya, peneroka terbeban dengan jumlah hutang yang besar.

2. Penyenaraian FGV ke Bursa Malaysia FGV disenaraikan pada tahun 2012 dengan harga RM4.55 sesaham. Penyenaraian itu telah menyebabkan Felda kehilangan 350,000 hektar tanah yang dipajakkan kepada FGV. Dividen dan pendapatan diterima daripada FGV tidak sepertimana yang diharapkan oleh Felda.

3. Harga sawit

Kejatuhan harga sawit sehingga paras terendah dalam tempoh 10 tahun, RM1,717.5 satu tan pada 21 November 2018. Ia memberikan kesan yang amat teruk kepada kewangan Felda dan juga peneroka.

4. Kelemahan dalam pengurusan

Beberapa keputusan dan pelaburan yang dibuat oleh lembaga serta pengurusan terdahulu menimbulkan masalah kepada Felda dan negara.

Justeru, pasukan petugas khas mencadangkan pelan pemulihan. Antara inti pati pelan permulihan yang sedang dilaksanakan adalah:

i. Penerbitan sukuk berjaminan kerajaan bernilai RM9.9 bilion. Sukuk Felda pertama bernilai RM2 bilion telah diterbitkan pada Mac lalu. Keseluruhan hasil terbitan sukuk itu digunakan untuk menjelaskan pinjaman Maybank dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ia secara tidak langsung mengurangkan hutang Felda.


ii. Kerajaan membantu Felda dengan komitmen menyuntik geran tahunan sebanyak RM990 juta selama 10 tahun bagi membayar prinsipal tahunan sukuk.

iii. Mengambil alih FGV. Sehingga kini, Felda telah berjaya menguasai 81 peratus saham FGV setelah tempoh tawaran pengambilalihan mandatori tamat pada 15 Mac 2021. Pengambil alihan FGV amat penting bagi memastikan Felda mendapat kembali 351,000 hektar tanah ladangnya yang dipajak dan seterusnya meningkatkan sumber pendapatan dari tanah ladang.

iv. Penstrukturan semula hutang peneroka yang melibatkan beberapa komponen seperti pinjaman pembangunan tanam semula, program pemulihan ladang, tunggakan baja dan pinjaman sosio ekonomi.

v. Kecekapan produktiviti pengurusan ladang dioptimumkan. Felda sedang mengkaji penstrukturan semula pengurusan ladang di 317 tanah rancanganya bagi meningkatkan kecekapan operasi. Penggunaan teknologi pertanian moden juga akan diperkenalkan melalui Smart Plantation Management Solution (SPMS). Teknologi tersebut mengguna pakai aplikasi web e-gis (geographic information system) dan data pengimejan untuk menjana data terperinci termasuk kiraaan pokok, kawasan kosong serta tahap kesihatan pokok. Ia akan menjimatkan kos.

Inisiatif

Selain pelan pemulihan, beberapa inisiatif lain sedang dilaksanakan, antaranya Projek Pembangunan Peneroka (PPP) yang diperkenalkan dalam Kertas Putih. Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion untuk melaksanakan pelbagai program bagi tempoh empat tahun. Pelaksanaan PPP dibuat melalui tiga model iaitu model peneroka (komuniti), model komersial dan model bersama Agrobank.

Alhamdulillah PPP sudah bermula. Saya telah melawat projek rintis yang sedang dilaksanakan di Felda Bukit Rokan, Wilayah Raja Alias, Negeri Sembilan. Projek di atas kawasan seluas 50.65 ekar itu telah mula beroperasi pada September 2020 melibatkan empat aktiviti pertanian iaitu tanaman cendawan, sayur berdaun, cili dan ternakan arnab pedaging.

Dalam tempoh setahun, Pengerusi Felda telah melakukan pelbagai transformasi dalam Felda, antaranya perubahan pemikiran dalam kalangan peneroka. Beliau berusaha mengubah sikap daripada budaya meminta kepada budaya memberi. Sehingga Ramadan lalu, Felda berjaya mengutip sedekah sebanyak RM9.7 juta dengan pelancaran program #sedekah300 yakni setiap keluarga peneroka memberi sedekah sebanyak RM300. Wang itu kemudiannya disalurkan kepada Majlis Agama Islam di negeri masing-masing sebagai salah satu usaha untuk pembangunan syiar Islam di Malaysia.

Malah, hasil urus tadbir yang lebih cekap, penyata kewangan Felda tahun 2020 berjaya diselesaikan dalam tempoh empat bulan berbanding penyata kewangan bagi tahun 2019 yang mengambil masa 14 bulan untuk disiapkan. Penambahbaikan sistem itu dapat memastikan kewangan dapat diuruskan dengan lebih baik.

Begitu juga dengan penyata hutang peneroka yang hampir dua dekad tidak dimuktamadkan. Pada Mac lalu, saya mengumumkan bahawa penyata hutang peneroka akan dimuktamadkan pada Mei. Ya, ia sudah dimuktamadkan tetapi adalah lebih molek kejayaan tersebut diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri yang telah banyak membantu untuk merealisasikan pelan pemulihan tersebut.

Untuk meletakkan Felda di landasan yang mampan, pengurusan dan seluruh warga agensi harus bekerja bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan supaya setanding dengan syarikat syarikat perladangan yang ternama.

Kerajaan telah berusaha memulihkan Felda. Lembaga pengarah, pengurusan dan peneroka mempunyai tanggungjawab untuk meletakkan Felda berada di atas landasan yang mandiri dan mampan bagi mengembalikan kegemilangannya. – Sinar Harian

*Datuk Seri Mustapa Mohamed ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)

Kategori