Mengaku Guna Wang i-Sinar KWSP Beli Dadah

LIMBANG – Seorang lelaki yang kini bekerja sendiri mengaku menggunakan wang baru dikeluarkan melalui i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli dadah.

Lelaki berusia 28 tahun berasal Kampung Patiambun, Jalan Buangsiol, di sini, ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang di tepi jalan Kampung Limpaki, di sini, pada 1 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berada dalam keadaan mencurigakan ketika ditahan untuk pemeriksaan dan cuba melarikan diri.

“Pihak polis bertanya sama ada suspek menyimpan barang salah atau dadah, namun suspek hanya berdiam diri.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui satu paket lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu di dalam seluar jean dipakai mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek bersama dadah jenis syabu dianggarkan seberat 13.07 gram dan bernilai RM 1,300 itu dibawa ke Pejabat BSJND untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, ketika disoal siasat, suspek menyatakan memperoleh dadah daripada seorang lelaki dikenali Lawang yang tinggal di Taman Damai, Limbang.

“Hasil risikan anggota BSJN didapati suspek yang membekalkan dadah tinggal di Kampung Patiambun dan bergiat aktif dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952,” katanya. – myMetro Online