“Menanti Mendung Berarak Lalu”

KUALA LUMPUR – Hari ini genap setahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerajaan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dan sejak itu akronim PKP yang sebelum ini asing bagi rakyat Malaysia sentiasa menjadi sebutan daripada kanak-kanak hinggalah orang tua.

Rakyat hidup dalam suasana norma baharu yang tidak pernah dialami sepanjang kehidupan berikutan PKP akibat pandemik itu yang memberi impak besar ke atas setiap individu, keluarga, pelbagai sektor dan kerajaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac 2020, buat pertama kali dalam sejarah negara mengisytiharkan PKP berkuat kuasa mulai 18 Mac mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sejak itu, sudah menjadi rutin rakyat menunggu di hadapan kaca televisyen atau mana-mana platform media sosial untuk mendengar perutusan perdana menteri dan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai perkembangan PKP.

Merenung kembali, sejak setahun lalu, PKP yang mengehadkan pergerakan rakyat yang bebas ke sana ke sini sebelum ini banyak memberi pengajaran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum untuk sama-sama berjuang memutuskan rantaian pandemik itu.

Melalui sekatan bersosial dan pengenalan penjarakan fizikal, rakyat mula akur dengan pelaksanaan PKP yang mengubah kehidupan seharian antaranya mengadakan kelas, mesyuarat, seminar, persidangan dan bekerja secara dalam talian.

Istilah kunjung-mengunjung, balik kampung semasa perayaan dan upacara keramaian seperti perkahwinan serta upacara pengebumian dilupakan buat sementara waktu semasa PKP.

Sekatan jalan raya di seluruh negara diadakan untuk memastikan dan memberi amaran kepada rakyat yang tidak mempunyai tugasan penting untuk kekal tinggal di rumah.

Pada 4 Mei 2020, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu pelonggaran syarat PKP tertentu membuka semula sektor ekonomi negara secara terkawal dan antara terkandung dalam perintah itu adalah hampir semua sektor serta aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi dengan tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Aktiviti sukan melibatkan perhimpunan besar, sentuhan badan dan risiko jangkitan lain tidak dibenarkan, termasuk semua acara sukan dalaman serta stadium.

Perjalanan antara negeri, termasuk tradisi balik kampung sempena perayaan ketika itu tidak dibenarkan kecuali untuk kerja dan pulang selepas terkandas di kampung atau di tempat lain.

Pada 10 Jun pula, PKPB digantikan dengan PKP Pemulihan (PKPP) yang juga fasa pemulihan daripada pelaksanaan PKP dan PKPB yang bermula pada 10 Jun hingga 31 Disember 2020.

Akibat kealpaan mematuhi SOP ditetapkan, kes Covid-19 meningkat menyebabkan kerajaan mengumumkan PKP untuk tempoh 14 hari bermula 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021 di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

PKPB pula dikenakan ke atas enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan status PKPB di tiga negeri iaitu Kedah, Perak dan Negeri Sembilan ditukar ke PKP Pemulihan (PKPP) manakala enam negeri dan wilayah kekal dengan status PKPB berkuat kuasa Jumaat ini hingga 31 Mac.

Enam kawasan itu, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan manakala bagi Sarawak status PKPB bermula kelmarin hingga 29 Mac manakala tujuh negeri dan wilayah iaitu Perlis, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan masih kekal dengan pelaksanaan PKPP. 

Rentas negeri tidak dibenarkan kecuali bagi aktiviti di gelembung pelancongan manakala rentas daerah dibenarkan kecuali bagi Sabah dan Sarawak.

Memahami kesusahan rakyat, kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin sejak setahun lalu mengumumkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang mengurangkan beban ditanggung rakyat.

Antaranya, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang memberikan bantuan wang tunai dan Program Subsidi Upah (PSU) bertujuan membantu majikan mengekalkan perniagaan dan pekerja mereka, di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

Peruntukan besar RM320 bilion melalui lima pakej rangsangan menunjukkan kerajaan konsisten mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Ini meliputi pakej Prihatin melibatkan RM250 bilion, Pakej Prihatin PKS (tambahan) berjumlah RM10 bilion, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sebanyak RM35 bilion, Kita Prihatin berjumlah RM10 bilion dan terbaharu bagi 2021 iaitu Pakej Permai bernilai RM15 bilion.

Setelah lebih setahun negara ‘berperang’ dengan virus yang meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini, akhirnya 21 Februari lalu, vaksin menjadi harapan dalam menangani wabak itu ‘mendarat’ di Malaysia apabila kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pada 27 Februari pula Malaysia menerima vaksin jenis Sinovac. 

Setiap hari rakyat Malaysia sentiasa berdoa supaya pandemik Covid-19 ini lenyap di muka bumi dan berharap untuk tahun seterusnya tiada lagi PKP dan biarkan istilah PKP menjadi pengalaman manis, pahit dan berharga buat kita semua. – BERNAMA