Memang Terbukti Bersih Alat Parti Pembangkang

TERBUKTI lagi yang pertubuhan Bersih yang didakwa pertubuhan untuk mendesak dan memperjuangkan pilihan raya yang “bebas dan adil” ialah alat kepada parti pembangkang dan sekutu mereka untuk melawan Umno dan Barisan Nasional.

Ini lebih terdedah lagi apabila bekas ketuanya Maria Chin Abdullah mengumumkan akan bertanding di bawah Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Maria berkata mahu menjadi wakil rakyat bebas di Parlimen, tetapi telah mengumumkan akan bersama gabungan pembangkang PH.

Memang jadi amalan pembangkang sejak dulu suka menggunakan perkataan bebas, sedangkan sebenarnya memperjuangkan ideologi politik mereka.

Sebenarnya, walaupun tanpa kehadiran Maria menyertai pakatan pembangkang, sudah terang lagi bersuluh bahawa Bersih ialah sebuah pertubuhan untuk menjadi muka hadapan pembangkang bagi menjatuhkan kerajaan BN.

Sejak awal Bersih terlibat dalam protes besar-besaran, sasarannya ialah untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpin BN.

Bersih diwujudkan sebagai NGO supaya tidak nampak yang parti-parti pembangkang sendiri yang melawan

Perbincangan menubuhkan Bersih pun melibatkan pemimpin-pemimpin pembangkang yang akan menggerakkan pertubuhan ini.

Penglibatan aktivis-aktivis dan parti-parti pembangkang bersama Bersih sudah cukup untuk memberi gambaran di pihak mana Bersih duduk, dan pihak mana yang ia tentang.

Perancangan protes Bersih dan kerjasama serta koordinasi dengan pertubuhan bukan kerajaan yang propembangkang dan parti-parti pembangkang dibuat untuk menampakkan yang kerajaan BN ialah kerajaan yang tidak sah dan menang melalui penipuan.

Sasaran Bersih ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikatakan mengikut arahan BN, dan kerajaan BN sendiri sebagai kerajaan yang sah.

Bersih sendiri tidak akan dapat ditubuhkan tanpa kerjasama dan penglibatan parti-parti pembangkang walaupun disertai pelbagai NGO.

Ini kerana Bersih hanya boleh mengumpul peserta seramai puluhan dan ratusan ribu hanya melalui mobilisasi parti-parti pembangkang.

Untuk tujuan mobilisasi ini, semasa awal ditubuhkan dulu, memang PAS yang menjadi harapan untuk membekalkan peserta bagi mencapai jumlah yang dikehendaki.

Protes yang paling boleh menarik ramai penyertaan ialah protes pilihan raya kerana masa itulah ramai ahli dan penyokong marah kerana mendakwa parti mereka ditipu.

Yang dituduh menipu tentulah kerajaan BN dengan kerjasama SPR, sehingga timbul cerita warga Bangladesh dibawa masuk untuk menjadi pengundi hantu, “blackout” dan sebagainya yang tiada asas.

Sejak ditubuhkan, Bersih hanya bercakap tentang dakwaan penipuan oleh BN, tetapi tidak menyentuh langsung apa yang dilakukan oleh pembangkang seperti memindahkan pengundi ke kawasan tertentu dan protes yang boleh mencetuskan panik dan kekacauan.

Maria bukan orang pertama dari kalangan aktivis Bersih dan kumpulan propembangkang lain yang menyertai politik tidak laam selepas bergiat dalam NGO.

Sebelum ini, aktivis Wong Tack yang memprotes projek Lynas di Pahang memasuki pilihan raya bertanding dengan tiket DAP di Bentong.

Dalam kalangan pejuang hak asasi, LGBT dan sebagainya, semuanya berkongsi agenda dengan parti-parti PH terutama DAP dan PKR.

Ramai lagi aktivis lain yang menyeberang ke parti politik selepas terlibat dalam NGO yang asalnya memang bertujuan menguatkan pembangkang.

Ini bermakna, cakap-cakap tentang apa yang mereka perjuangkan semata-mata untuk menonjolkan diri, menampakkan diri sebagai penentang BN dan kemudian masuk politik bila sudah dikenali.

Kemasukan Maria ke dalam politik ini perlu terus membuka mata rakyat bahawa NGO yang didakwa bebas itu sebenarnya memang membawa agenda politik pembangkang dan tidak bebas dan adil seperti didakwa. – Mynewshub.cc/H