“Memang Nak Kahwin, Tapi Tak Tahu Bila?” – Zizan

SEBUT sahaja tentang Zizan, pasti akan ada yang terus terfikir mengenai ‘kisah cintanya’ bersama dengan pelakon cantik, Mira Filzah.

Tapi, sampai sekarang masing-masing masih menidakkan hubungan mereka dan menegaskan bahawa hubungan itu tidak lebih daripada teman biasa sahaja.

Baca: Mira Support Zizan, Bukan Sebab Cinta

Zizan sering diajukan soalan yang dah menjadi kebiasaan padanya iaitu ‘Bila nak kahwin?’. Apalah agaknya jawapan yang Zizan selalu bagi ya. Tak penat ke asyik ditanya soalan yang sama je?

“Siapa yang tidak mahu berkahwin? Niat itu memang ada tetapi saya sendiri tidak tahu bila.

“Tapi biasanya orang akan berkahwin kalau tidak hari Sabtu atau Ahad,” katanya berseloroh kepada mStar online.

Maklumlah, umur Zizan pun dah menjangkau 32 tahun. Kalau dah kahwin mesti dah ada anak. Tapi siapalah kita untuk menentukan jodoh kan, semuanya ketentuan Ilahi.

Namun, Zizan mengaku bahawa kini dia sedang rapat dengan seorang gadis tetapi masih dalam proses mengenal hati budi dan dalam fasa berkawan sahaja.

Bila dah kata macam tu, mesti lah orang lain akan anggap gadis bertuah itu ialah Mira Filzah kan.

Masih lagi menjadi tanda tanya, Zizan mengelak dan tak mahu mengulas mengenai hal itu. Zizan ni… Nak berahsia pulak ya dia.

“Ada seseorang yang rapat tetapi fasa berkawan sahaja,” katanya lagi.

Mungkin Zizan tak mahu pisang berbuah dua kali. Kali ini dia lebih mengambil langkah berjaga-jaga agar hatinya tak terguris lagi seperti yang sebelum ini.

Nama Zizan Razak kini bukanlah sekadar pelakon kosong atau kayu. Malah, kejayaan filem Abang Long Fadhil 2 yang telah berjaya catat kutipan lebih daripada RM10 juta itu telah mengangkat lagi karier Zizan.

“Tanpa kehadiran pelakon yang mempunyai nama dalam sesebuah filem susah juga kerana populariti seseorang itu penting dalam menarik minat penonton.

“Bagaimanapun ia bukanlah satu-satu faktor kejayaan sesebuah nashkah itu sebaliknya ia melibatkan pelbagai perkara dalam memastikan filem dihasilkan adalah yang terbaik dan dapat memenuhi cita rasa penonton.

“Pada saya keseimbangan di antara populariti pelakon dan jalan cerita amat penting dan Abang Long Fadil 2 adalah kedua-duanya,” katanya lagi apabila ditanya mengenai kejayaan sesebuah karya dikaitkan dengan populariti pelakon.

Diharapkan selepas ini segala teka-teki mengenai gadis misteri yang telah berjaya mencuri hati Zizan ini akan terjawab. Lepas ni jangan tangguh lagi, kahwin je terus! – MYNEWSHUB.CC/Ainaa Hafizah