Memahami Sejarah Turunnya Al-Quran

Al-QURAN diturunkan pada malam Lailatul Qadar secara berperingkat.*

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” (al-Qadr:1)

Tiga peringkat yang dilalui iaitu: Pertama – dari Allah ke Luh Mahfuz.*

Di peringkat ini, Al-Quran diturunkan sekaligus.

Luh Mahfuz ialah tempat catatan yang ditulis padanya ketetapan setiap makhluk sehinggalah berlakunya hari kiamat nanti. (Syarh al-Aqidah al-Thahawiyah, Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi, hlm. 263]

Peringkat kedua: Dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah.

Al-Quran juga turun dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia secara sekaligus.

“Allah menurunkan al-Quran sekaligus dari Lauh Mahfudz ke baitul izzah (rumah kemuliaan) di langit dunia kemudian Allah menurunkannya secara beransur-ansur sesuai dengan berbagai peristiwa selama 23 tahun kepada Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam.” (Tafsir Ibnu Katsir 8/441)

Peringkat Ketiga: Dari Baitul Izzah ke Nabi Muhammad.

Pada peringkat ini, Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun. Tiga belas tahun di Mekah dan sepuluh tahun di Madinah. Seterusnya, Baginda mengajarkannya kepada para sahabat dan umat Islam keseluruhannya.

Antara hikmah kenapa Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur adalah untuk memudahkan umat Islam untuk menghafal, memahami dan melaksanakan atau beramal dengan ayat-ayat Al-Quran.

Ini membuktikan bahawa Al-Quran adalah rahmat dari Allah dan Dia tidak akan sekali-kali membebankan hamba-hambanya.

Jika diteliti, setiap ayat yang diturunkan adalah berdasarkan peristiwa yang berlaku semasa zaman Rasulullah.

Sebagai contoh surah Al-Kahfi yang diturunkan apabila Nabi Muhammad s.a.w ditanya mengenai tujuh orang pemuda yang tidur di sebuah gua serta kisah Raja Zulkarnain.

Surah Al-Kafirun diturunkan apabila Rasulullah ditawarkan pelbagai hadiah dan janji-janji manis oleh orang kafir Quraisy untuk meninggalkan dakwah Islam.

Sehingga akhir zaman, Al-Quran akan tetap dipelihara dan tidak akan pernah dapat diubah oleh orang-orang kafir sebagaimana mereka mengubah kitab-kitab yang diturunkan sebelumnnya. Hal ini bertepatan dengan janji Allah:

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (Al-Hijr: 9)

Al-Quran sesungguhnya adalah kalam Allah yang agung. Bukan sekadar omong kosong, tetapi sejak umat Islam mula mengenal Al-Quran, mereka telah diperlihatkan pelbagai tanda kekuasaan Allah yang membuktikan betapa istimewanya Al-Quranul Karim ini.

Mereka yang beramal dengan Al-Quran adalah orang yang terbaik dan sentiasa berada di bawah rahmatNya. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang sentiasa mendapat rahmat Allah. In Shaa Allah, Amin.

#LaskarMalaya