Melonjak 39 Kes Baharu Covid-19 Hari Ini

PUTRAJAYA – Kes baharu positif koronavirus (Covid-19) hari ini melonjak kepada 39 kes sehari selepas ia kembali kepada satu digit semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 22 kes merupakan penularan dalam negara.

“19 kes direkodkan di Sarawak yang melibatkan tujuh daripada Kluster Sentosa, Kluster Kejuruteraan Kuching (4), Klsuter Satok (4), Kluster Mambong (1), Kluster PUI Melbourne (1) dan satu kes saringan pemantauan di pintu masuk lapangan terbang serta satyu kes saringan kendiri,” katanya.

Menurutnya, terdapat dua kes penularan dalam negara berlaku di Sabah melibatkan kes saringan pesakit berisiko tinggi masing-masing di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah dan Hospital Lahad Datu.

“Selain itu satu kes daripada Kluster PUI Sivagangga dikesan di Kedah,” katanya.

Beliau menambah, enam kes penularan tempatan dikesan di kalangan warga asing.

“Ia adalah dua kes daripada Kluster Sentosa dan empat kes melibatkan Kluster PUI Sivagangga,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, 11 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat warga Malaysia dan tujuh warga asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

“11 kes import tersebut adalah dari negara Arab Saudi (1 kes di Sabah); Ireland (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Korea Selatan (2 kes: 1 kes di Sarawak dan 1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), India (1 kes di Kedah), Rusia (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Amerika Syarikat (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Amerika Selatan (1 kes di Sarawak), United Kingdom (2 kes di Sarawak) dan Filipina (1 kes di Wilayah Persekutuan Labuan),” katanya.

Menurutnya pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 meningkat kepada 8,943 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 212 kes,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, hanya satu kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal 124 kes iaitu bersamaan 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” kata beliau. – Sinar Harian

Loading...