Melonjak 21 Kes Baharu Covid-19 Hari Ini

JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara kembali meningkat hari ini dengan merekodkan 21 kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 8,861 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 21 kes baharu itu, lima adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan tiga warga Malaysia dan dua bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia atau dibenarkan masuk di atas urusan kerja. 

Menurut beliau, lima kes import itu membabitkan individu yang pulang dari Singapura (1 kes), Australia (1 kes), Filipina (1 kes), Pakistan (1 kes) dan Qatar (1 kes). 

Dalam pada itu, katanya, daripada 16 kes penularan tempatan di dalam negara, 13 kes adalah dalam kalangan warga Malaysia manakala tiga kes dalam kalangan bukan warganegara. 

“Kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara membabitkan satu kes di Johor daripada Kluster Warga Emas Kluang; dua kes daripada Kluster Elsa di Pahang. 

“Perincian kes penularan Covid-19 dalam negara dalam kalangan warga Malaysia (13 kes) pula membabitkan dua kes daripada Kluster PUI Ramnad di Kuala Lumpur, satu kes daripada Kluster PUI Al Khobar, Selangor, satu kes daripada Kluster Warga Emas Kluang, Johor, satu kes daripada Kluster Elsa dan lapan kes daripada Kluster Sentosa di Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia dalam kenyataannya, hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham memaklumkan ada tiga kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini dengan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 8,577 kes, 96.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, daripada keseluruhan 8,861 kes kumulatif Covid-19 di Malaysia, kes aktif dan kebolehjangkitan sebanyak 161 kes.

“Sehingga kini, hanya lima kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, justeru jumlah kumulatif kes kematian dalam negara kekal sebanyak 123 kes, 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – myMetro Online

Loading...