Melayu, India Di Singapura Rasa Semakin Didiskriminasi

KUALA LUMPUR – Mengikut satu kajian yang dijalankan Institut Kajian Dasar (IPS), bilangan orang Melayu dan India di Singapura yang rasa didiskriminasi semasa meminta pekerjaan atau kenaikan pangkat meningkat antara tahun 2013 hingga 2018.

The Straits Times melaporkan, menurut kajian itu, separuh daripada keseluruhan orang Melayu dan India di Singapura rasa didiskriminasi ketika memohon pekerjaan pada tahun 2018.

Kajian itu dijalankan terhadap 4,015 warganegara dan penduduk tetap negara itu berhubung pelbagai isu mengenai identiti perkauman dan keagamaan, serta pengalaman mereka menetap dalam masyarakat yang berbilang kaum, serta persepsi mereka terhadap isu sosial dan politik.

Ia mendapati sejumlah besar penduduk minoriti, iaitu 73 peratus penduduk Melayu, 68 peratus India dan separuh daripada kaum ‘lain’ termasuk Serani merasakan mereka didiskriminasi apabila memohon pekerjaan.

Kira-kira 52 peratus responden Melayu bersetuju bahawa mereka ‘kadang-kala’, ‘selalu’, ‘lebih kerap’ dan ‘sentiasa’ didiskriminasi ketika meminta pekerjaan manakala responden India sebanyak 47 peratus dan responden Cina hanya 12 peratus.

Dalam kenaikan pangkat pula, 51 peratus responden Melayu rasa mereka ‘kadang-kala’, ‘selalu’, ‘lebih kerap’ dan ‘sentiasa’ didiskriminasi manakala responden India sebanyak 45 peratus dan responden Cina hanya 14 peratus.

Secara umum, lebih separuh daripada responden masih berfikir bahawa bangsa adalah faktor penting apabila majikan membuat keputusan untuk pengambilan pekerja.

Secara keseluruhan, bilangan responden Melayu dan India yang rasa didiskriminasi secara ‘kadang-kala’, ‘selalu’, ‘lebih kerap’ dan sentiasa meningkat kira-kira 5 peratus daripada tahun 2013 ke 2018.

Kajian itu turut menyatakan bahawa responden merasakan bahawa orang Melayu dan India harus bekerja lebih kuat berbanding orang Cina di negara itu untuk mendapatkan kehidupan asas yang elok.

Manakala satu pertiga responden Melayu dan India merasakan lebih sukar untuk mereka naik pangkat kepada jawatan tertinggi berbanding bangsa lain. – UTUSAN ONLINE

Loading...